Kekuatan 50:50 ATM, persiapan hadapi kemungkinan konflik serantau

CADANGAN menyusun penempatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada 50 peratus di Semenanjung dan 50 peratus di Sabah serta Sarawak perlu dilihat dalam konteks perubahan persekitaran keselamatan di rantau ini, khususnya perkembangan ketenteraan negara berkuasa besar di Pulau Balabac, Filipina.
Ketika ini, dua pertiga daripada keseluruhan kira-kira 20,000 anggota ATM ditempatkan di Semenanjung, manakala satu pertiga di Sabah dan Sarawak.
Pulau Balabac bukan ancaman langsung kepada Malaysia. Namun, kedudukannya kira-kira 50 kilometer dari Pulau Banggi, Kudat, Sabah menjadikan sebarang konflik di kawasan itu berpotensi memberi kesan limpahan terhadap negara.
Malah, Pulau Balabac yang terletak di bahagian selatan Palawan dilaporkan antara lokasi latihan ketenteraan bersama Filipina-Amerika Syarikat (AS) pada 2026, termasuk latihan keselamatan maritim dan operasi pelbagai domain.
Dalam keadaan sedemikian, kehadiran lebih ramai anggota ATM di Sabah dan Sarawak memberikan kedalaman pertahanan yang lebih baik.
Sekiranya berlaku insiden bersenjata, provokasi, pencerobohan ruang udara atau perairan mahupun pergerakan penduduk akibat konflik, Malaysia mempunyai kekuatan yang lebih hampir dengan kawasan berisiko tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada penghantaran anggota dari Semenanjung.
Namun, angka 50:50 tidak sepatutnya dilihat sebagai sekadar memindahkan anggota.
Ia membawa implikasi besar terhadap pengorbanan anggota tentera.
Penempatan di Sabah dan Sarawak bermakna anggota perlu berjauhan daripada keluarga, bertugas dalam kawasan operasi yang luas, berdepan cabaran logistik dan cuaca serta sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi.
Pengorbanan itu turut ditanggung keluarga yang terpaksa menyesuaikan kehidupan apabila anggota ditempatkan jauh dari rumah.
Justeru, nisbah 50:50 boleh dilihat sebagai perubahan struktur yang perlu disokong dengan aset, pangkalan, logistik, risikan dan latihan mencukupi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
