Kelantan lahirkan pelapis cilik pelihara warisan makyung

Para pelapis cilik makyung yang akan mempersembahkan seni tradisional itu di acara-acara negeri. FOTO: SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID
Para pelapis cilik makyung yang akan mempersembahkan seni tradisional itu di acara-acara negeri. FOTO: SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Kelantan melahirkan pelapis cilik makyung bagi memastikan seni tradisional yang menjadi antara identiti budaya negeri itu terus diwarisi generasi baharu.

Menerusi program perantisan selama tiga tahun anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan, seramai 30 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun dilatih menguasai tarian, nyanyian, lakonan, skrip dan muzik.

Pengarah JKKN Kelantan, Rohaniza Abdullah berkata, program yang dimulakan pada 2024 itu memberi tumpuan kepada usaha mencungkil bakat dan membentuk generasi muda yang mampu menguasai seni persembahan makyung.

“Pada awalnya memang ada kesukaran kerana peserta perlu menguasai lakonan, nyanyian, tarian dan muzik sedangkan kebanyakan mereka tidak mempunyai asas dalam seni persembahan.

Dr Hafidzah (kiri) diiringi Rohaniza (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Ruhani (tengah).FOTO: SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID
Dr Hafidzah (kiri) diiringi Rohaniza (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Ruhani (tengah).FOTO: SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID

“Namun, hasil latihan berterusan serta bimbingan jurulatih dan penggiat seni tempatan, mereka kini mampu persembahan seni makyung,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutupan Bengkel Produk Seni Budaya Negeri: Gasing Uri dan Majlis Apresiasi Program Perantisan Seni Mak Yong (Kanak-kanak) JKKN Kelantan di Pentas Terbuka, Kompleks JKKN Kelantan di sini pada Sabtu.

Tarian makyung adalah salah satu seni tradisi tertua di Kelantan dan diiktiraf sebagai warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Artikel Berkaitan:

Rohaniza berkata, kira-kira 40 peserta menyertai program berkenaan pada peringkat awal, namun jumlah itu berkurangan kepada 30 orang yang berjaya mengekalkan komitmen sehingga tamat latihan.

“Proses untuk menguasai semua kemahiran ini memang memerlukan masa dan kesungguhan.

“Sebab itu sokongan ibu bapa dan pihak sekolah juga sangat penting bagi memastikan mereka dapat mengikuti latihan secara konsisten,” katanya.

Menurut beliau, program dikendalikan jurulatih berpengalaman, Nur Qul’ain Saari serta mendapat bimbingan dan rujukan daripada tokoh makyung Kelantan, Ruhani Mond Zin yang juga bekas jurulatih Kumpulan Mak Yong Kijang Emas JKKN Kelantan.

Pelapis menerima sijil peyertaan masing-masing. FOTO: SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID
Pelapis menerima sijil peyertaan masing-masing. FOTO: SINAR HARIAN / ADILA SHARINNI WAHID

Menurut Rohaniza, program perantisan berkenaan tamat tahun ini dan pihaknya akan terus membawa kumpulan itu dan mempamerkan persembahan mereka dalam acara-acara negeri dan luar negeri.

“Kami tidak mahu usaha ini berhenti di sini. Sekiranya ada keperluan persembahan, merekalah yang akan dipanggil kerana mereka sudah mendapat latihan dan mempunyai ilmu yang diwarisi daripada tokoh serta penggiat makyung.

“Usaha melahirkan generasi muda makyung ini akan diteruskan,” katanya.

Dalam pada itu, Rohaniza berkata, JKKN Kelantan juga akan melaksanakan program perantisan seni rebab pada tahun hadapan bagi melahirkan pelapis muzik tradisional yang dapat melengkapi kumpulan persembahan makyung.

“Selepas melahirkan kumpulan pelapis makyung, kami mahu pula ada kumpulan yang boleh bermain rebab khususnya untuk mengiringi persembahan makyung,” katanya.

Rohaniza berkata, penyertaan kanak-kanak lelaki dalam program perantisan berkenaan juga masih kurang berbanding perempuan, sedangkan pihaknya mahu membentuk kumpulan yang mempunyai pelapis lelaki dan perempuan.

Pada acara penutupan itu, mereka menampilkan persembahan naskhah Anak Raja Gondang.

Majlis turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim yang menyampaikan sijil kepada pelapis.

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!