Cukai tanah: Tak kira besar mana syarikat, undang-undang tetap undang-undang - MBN Pahang

MBN Pahang mahu semua pihak menghormati hak kerajaan negeri terhadap penguatkuasaan tanah di Bukit Tinggi, Bentong.
MBN Pahang mahu semua pihak menghormati hak kerajaan negeri terhadap penguatkuasaan tanah di Bukit Tinggi, Bentong.
A
A
A

KUANTAN – Hak Kerajaan Negeri Pahang terhadap penguatkuasaan tanah di Bukit Tinggi, Bentong baru-baru ini perlu dihormati tanpa mengira pihak mana yang terlibat.

Majlis Belia Negeri (MBN) Pahang menegaskan, perkara itu bukan soal syarikat atau jumlah wang yang besar, sebaliknya ia melibatkan prinsip, pematuhan undang-undang dan hak negeri yang perlu dipertahankan demi kepentingan rakyat.

Menurutnya, setiap pemilik tanah mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan kewajipan yang ditetapkan manakala kerajaan pula bertanggungjawab memastikan hasil negeri dikutip dan diuruskan dengan baik.

"Kalau rakyat biasa perlu membayar cukai tanah, syarikat besar juga tidak boleh diletakkan di luar kerangka undang-undang.

"Kami tidak mahu melihat undang-undang hanya tegas kepada yang kecil tetapi longgar kepada yang besar," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Terdahulu media melaporkan, 122 hak milik di atas tanah milikan Berjaya sekitar Bukit Tinggi, Bentong dilucutkan kepada kerajaan negeri susulan kegagalan menjelaskan tunggakan cukai tanah berjumlah lebih RM70 juta.

Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Saifullah Muhammad Ali berkata, antara lokasi terbabit adalah kuarters pekerja, dobi, taman arnab dan taman Jepun yang masing-masing berada di atas tanah kerajaan yang dilucuthak.

Sementara itu, Berjaya Hills Resort Bhd melalui kenyataannya mendakwa, tindakan penguatkuasaan terhadap hartanahnya itu 'tidak munasabah dan sama sekali tidak boleh diterima'.

Menurutnya, tindakan yang diambil susulan pertikaian berhubung kenaikan mendadak cukai tanah juga 'tidak munasabah' serta menjejaskan jangkaan sah syarikat untuk meneruskan perniagaan dan operasinya secara aman.

Artikel Berkaitan:

MBN Pahang bagaimanapun menegaskan pihaknya menghormati sepenuhnya proses mahkamah serta hak mana-mana pihak untuk mendapatkan keadilan melalui saluran perundangan yang tersedia.

Menurutnya, prinsip berkaitan hasil dan tanah negeri adalah jelas, iaitu setiap pihak yang mempunyai kewajipan membayar perlu melunaskannya.

"Siapa yang wajib bayar, bayarlah. Siapa yang melanggar undang-undang, hadapilah prosesnya dan siapa pun yang mempertahankan hak negeri, hendaklah dihormati," katanya.

MBN Pahang berpandangan, ketegasan dalam pentadbiran tanah sebagai sebahagian daripada usaha memastikan hasil negeri dapat digunakan semula untuk pembangunan, infrastruktur, pendidikan, belia dan kesejahteraan rakyat negeri ini.

Menurutnya, kerajaan negeri sendiri menyatakan hasil cukai tanah membantu membiayai agenda pembangunan dan perkhidmatan awam negeri.

Sehubungan itu, MBN Pahang mahu Pahang terus berkembang sebagai negeri yang mampu menarik pelaburan kukuh, namun pembangunan berkenaan perlu berjalan seiring dengan kepatuhan terhadap undang-undang, tanggungjawab korporat dan kepentingan rakyat.

"Kemajuan negeri tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mana-mana pihak mengabaikan tanggungjawab yang telah ditetapkan.

"Tak kira siapa. Tak kira sebesar mana syarikat. Hak Pahang tetap hak Pahang. Undang-undang tetap undang-undang," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!