Pemilik tanah bertanggungjawab patuhi kewajipan cukai tanah - DPMM Pahang

Yusri
Yusri
A
A
A

KUANTAN - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang menyokong tindakan penguatkuasaan undang-undang berhubung tunggakan cukai tanah lebih RM70 juta membabitkan 122 hak milik di Berjaya Hills, Bukit Tinggi, Bentong.

Yang Dipertuanya, Yusri Yusof berkata, setiap pemilik tanah termasuk syarikat dan entiti korporat bertanggungjawab memenuhi kewajipan berkaitan cukai tanah.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan yang tegas perlu bagi memastikan pematuhan terhadap syarat dan peruntukan undang-undang serta prinsip keadilan terus ditegakkan seperti mana yang telah dilaksanakan pada 28 September lalu.

"DPMM Pahang menghormati sepenuhnya kedaulatan undang-undang serta proses perundangan berkaitan perkara itu yang sedang berjalan.

"Bagaimanapun ruang rundingan dan penyelesaian secara konstruktif antara kerajaan negeri dan pihak syarikat wajar terus dibuka tanpa menjejaskan hak serta proses perundangan mana-mana pihak," katanya seperti dilaporkan Pahang Media.

Terdahulu media melaporkan, 122 hak milik di atas tanah milikan Berjaya sekitar Bukit Tinggi, Bentong dilucutkan kepada kerajaan negeri susulan kegagalan menjelaskan tunggakan cukai tanah berjumlah lebih RM70 juta.

Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Saifullah Muhammad Ali berkata, antara lokasi terbabit adalah kuarters pekerja, dobi, taman arnab dan taman Jepun yang masing-masing berada di atas tanah kerajaan yang dilucuthak.

Sementara itu, Berjaya Hills Resort Bhd melalui kenyataannya mendakwa, tindakan penguatkuasaan terhadap hartanahnya itu 'tidak munasabah dan sama sekali tidak boleh diterima'.

Menurutnya, tindakan yang diambil susulan pertikaian berhubung kenaikan mendadak cukai tanah juga 'tidak munasabah' serta menjejaskan jangkaan sah syarikat untuk meneruskan perniagaan dan operasinya secara aman.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Yusri berkata, sebagai organisasi yang mewakili komuniti perniagaan, DPMM Pahang turut mengambil kira aspek kesinambungan perniagaan, keyakinan pelabur, kepentingan pekerja dan kesan isu berkenaan terhadap ekosistem ekonomi tempatan.

Katanya, kepastian undang-undang, ketelusan pentadbiran, kejelasan kadar dan kewajipan cukai serta proses penguatkuasaan yang teratur amat penting bagi memastikan Pahang terus menjadi negeri yang diyakini pelabur dan komuniti perniagaan.

"Prinsip pematuhan perlu terpakai secara adil kepada semua pemilik tanah, sama ada individu, syarikat kecil, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mahupun korporat besar.

"Pendekatan begini mengimbangi ketegasan penguatkuasaan undang-undang dan ruang dialog demi kepentingan negeri, pekerja, komuniti perniagaan serta kesinambungan aktiviti ekonomi Pahang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!