Jangan biar isu video CCTV tutup isu sebenar keselamatan sempadan negara - Pemuda Pas

Afnan Hamimi Taib Azamudden
Afnan Hamimi Taib Azamudden
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas menggesa perhatian terhadap penularan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain tidak menenggelamkan persoalan lebih besar berkaitan keselamatan dan integriti penguatkuasaan di pintu masuk negara.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, penularan rakaman itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat, namun perhatian tidak seharusnya terhenti pada beberapa saat rakaman yang tular semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata, persoalan lebih besar dan serius perlu diberikan perhatian, terutama berkaitan tahap keselamatan, integriti dan kemungkinan berlaku kebocoran dalam sistem penguatkuasaan di pintu masuk negara.

"Perkara ini kini berada dalam siasatan pihak berkuasa. Maka kita tidak mahu mendahului siasatan atau menghukum mana-mana pihak.

"Tetapi pada masa sama, kita tidak boleh menutup mata terhadap persoalan lebih besar tentang tahap keselamatan, integriti dan kemungkinan berlakunya kebocoran dalam sistem penguatkuasaan di pintu masuk negara," katanya dalam kenyataan pada Jumaat

Beliau berkata, berdasarkan penjelasan AKPS, kejadian berkenaan berlaku pada 28 September lalu ketika satu operasi penguatkuasaan dijalankan terhadap seorang warga asing yang disyaki terbabit dalam kegiatan 'ulat' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dalam proses berkenaan, katanya, timbul persoalan mengenai individu yang bukan sebahagian daripada pasukan operasi berada di lokasi dan merakam kejadian itu.

Afnan berkata, Pemuda Pas tidak mahu mendahului siasatan atau menghukum mana-mana pihak berhubung perkara itu.

Namun, katanya, perhatian perlu turut diberikan kepada ancaman terhadap keselamatan pintu masuk dan sempadan negara.

Artikel Berkaitan:

"AKPS sendiri sebelum ini mendedahkan peningkatan tindakan terhadap kegiatan penyeludupan. Setakat tahun ini, nilai rampasan dan ketirisan hasil kerajaan yang berjaya ditangani AKPS dilaporkan telah melebihi RM265 juta, berbanding RM80 juta pada tahun sebelumnya.

"Cubaan penyeludupan dadah melalui lapangan terbang juga dilaporkan dikesan dengan begitu kerap," katanya.

Menurutnya, jumlah berkenaan menunjukkan ancaman terhadap pintu masuk dan sempadan negara perlu dipandang serius.

Sehubungan itu, katanya, Pemuda Pas menyokong setiap usaha profesional dan berintegriti oleh AKPS serta seluruh agensi penguatkuasaan untuk membersihkan pintu masuk negara daripada kegiatan penyeludupan, rasuah, salah guna kuasa, kemasukan warga asing tanpa dokumen dan apa juga bentuk jenayah rentas sempadan.

"Kita juga menghargai ketegasan Datuk Seri Mohd Shuhaily dalam usaha memperkukuhkan penguatkuasaan AKPS.

"Pada masa sama, semua dakwaan berkaitan insiden tular mesti disiasat secara bebas, telus dan adil. Tiada sesiapa harus berada di atas undang-undang," katanya.

Afnan berkata, usaha membersihkan pintu masuk negara tidak seharusnya terhenti hanya kerana satu kontroversi.

Jika terdapat pegawai, orang tengah, sindiket atau mana-mana pihak yang bersekongkol untuk membocorkan operasi, melindungi sindiket, memudahkan penyeludupan atau membawa masuk warga asing secara tidak sah, katanya, mereka mesti dikenal pasti, disiasat dan dibawa ke muka pengadilan berdasarkan undang-undang.

Beliau berkata, Pemuda Pas melalui Ahli Parlimennya akan terus membawa persoalan berkaitan keselamatan sempadan dan integriti penguatkuasaan ke Dewan Rakyat dalam persidangan akan datang.

"Kita mahu kerajaan menjelaskan sejauh mana sindiket-sindiket ini telah menembusi sistem penguatkuasaan negara, apakah kelemahan yang masih wujud di pintu masuk antarabangsa dan apakah tindakan menyeluruh yang sedang diambil bagi memastikan anggota penguat kuasa tidak boleh dipengaruhi atau diperalatkan oleh sindiket," katanya.

Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, Pemuda Pas juga akan terus mengikuti maklumat, laporan dan pendedahan daripada masyarakat, bekas petugas serta saksi berkaitan sebarang dakwaan salah laku yang boleh mengancam keselamatan negara.

Menurutnya, setiap maklumat yang mempunyai asas wajar diserahkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat secara profesional.

"Isu ini lebih besar daripada satu rakaman CCTV. Ini soal siapa yang menjaga pintu negara kita. Ini soal integriti institusi. Dan yang paling utama, ini soal kedaulatan Malaysia," katanya.

Afnan berkata, perhatian terhadap rakaman yang tular tidak seharusnya menyebabkan persoalan mengenai apa yang berlaku di sebalik pintu masuk negara terlepas daripada perhatian. 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!