Insiden video tular: Akauntabiliti AKPS jadi taruhan

Laporan muka depan Sinar Harian.
Laporan muka depan Sinar Harian.
A
A
A

INSIDEN video tular di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bukan sekadar isu rakaman yang tersebar di media sosial, sebaliknya melibatkan tatakelola, disiplin operasi dan akauntabiliti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Kesediaan Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain untuk menerima apa sahaja keputusan atau tindakan kerajaan memperlihatkan beliau menyedari seriusnya implikasi insiden berkenaan terhadap agensi yang dipimpinnya.

Pendirian itu juga memberi isyarat bahawa isu tersebut tidak wajar dilihat secara terpisah daripada tanggungjawab kepimpinan.

Namun, persoalan utama yang perlu dijawab bukan sekadar siapa yang akan dipertanggungjawabkan, tetapi bagaimana insiden itu boleh berlaku dalam kawasan yang sepatutnya mempunyai kawalan operasi dan akses yang jelas.

Menurut Mohd Shuhaily, penguatkuasaan pada 28 September lalu dibuat ketika beliau bersama pegawai menjalankan pemantauan berkaitan persediaan menghadapi kemasukan pengunjung sempena perlumbaan Formula 1, selain susulan aduan mengenai kegiatan sindiket ulat warga asing serta penemuan dadah dan barangan kontraban.

Dalam operasi itu, seorang warga asing yang dipercayai terlibat dalam sindiket berkenaan ditahan sebelum dibawa ke bilik pemeriksaan bagasi milik Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) KLIA untuk sesi temu bual.

Di sinilah timbul persoalan mengenai kehadiran dua individu tidak dikenali yang didakwa merakam proses berkenaan menggunakan telefon bimbit.

Lebih penting, bagaimana mereka boleh berada dalam ruang yang menurut AKPS sepatutnya hanya melibatkan pegawai AKPS dan AVSEC?

Keputusan menyerahkan siasatan kepada polis, termasuk mengenal pasti pihak yang menyebarkan video, adalah langkah yang membolehkan fakta ditentukan melalui siasatan bebas.

Artikel Berkaitan:

Dakwaan bahawa video itu bukan daripada sumber asal sebaliknya dirakam semula menggunakan peranti lain juga perlu disahkan.

Apa yang lebih penting, siasatan perlu menjawab rantaian kejadian secara menyeluruh. Daripada proses penguatkuasaan, kawalan akses, kewujudan individu luar sehingga rakaman itu tersebar.

Bagi AKPS, isu ini bukan semata-mata mengenai nasib seorang ketua jabatan. Ia menyentuh tahap keyakinan terhadap sistem kawalan sempadan negara dan keupayaan agensi baharu itu memastikan setiap operasi dilaksanakan mengikut tatakelola yang ditetapkan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!