Insiden video tular KLIA: Suara Rakyat gesa Mohd Shuhaily tidak dijadikan ‘kambing hitam

Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat
Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat
A
A
A

SHAH ALAM – Semua pihak diingatkan supaya tidak menjadikan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai “kambing hitam” susulan video tular yang dikaitkan dengan beliau baru-baru ini.

Pengerusi Gerakan Suara Rakyat Malaysia Sejahtera (Suara Rakyat), Mohd Zai Mustafa berkata, insiden yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu dilihat mencerminkan sikap bertanggungjawab Mohd Shuhaily dalam melaksanakan tugas mengikut lunas undang-undang.

Menurutnya, Suara Rakyat turut menyatakan sokongan moral dan solidariti penuh terhadap Mohd Shuhaily kerana menjalankan amanah dengan tegas serta berintegriti dalam aspek keselamatan sempadan negara.

“Suara Rakyat ingin mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak cuba menjadikan Datuk Seri Mohd Shuhaily sebagai kambing hitam atau mangsa keadaan bagi menutup kelemahan serta salah laku pihak lain.

“Kami akan terus bersuara sekiranya terdapat usaha untuk mengenakan tindakan yang tidak adil terhadap beliau.

“Justeru, Suara Rakyat berdiri teguh di belakang beliau. Teruskan bertugas dengan tegas, amanah dan berintegriti. Rakyat Malaysia akan tetap bersama anda,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Mohd Shuhaily dalam sidang akhbar khas pada Khamis menyatakan kesediaannya menerima apa juga keputusan atau tindakan kerajaan susulan insiden video tular tersebut.

Beliau turut menegaskan kesediaan untuk bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku dan menyerahkan sepenuhnya siasatan lanjut kepada pihak berkuasa bagi memastikan perkara itu diselesaikan secara adil.

Sebelum itu, tular di media sosial video memaparkan seorang individu yang didakwa mirip Mohd Shuhaily sedang memarahi individu lain di sebuah lokasi di KLIA.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Zai berkata, Malaysia memerlukan lebih ramai pegawai penguat kuasa yang berani dan tegas dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Menurut beliau, sebarang pelanggaran undang-undang di pintu masuk utama negara tidak boleh dipandang ringan atau diberi layanan berkompromi.

“Apabila undang-undang dilanggar di pintu masuk utama negara seperti KLIA, tidak boleh ada kompromi.

“Tegas bukan bermaksud zalim. Tegas bermaksud mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!