Gaji minimum: Tiga perkara perlu diberi perhatian kerajaan - PKR Wilayah

Jonathan Vela
Jonathan Vela
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu memberi perhatian kepada tiga perkara dalam penelitian pelaksanaan gaji minimum supaya peningkatan pendapatan pekerja dapat dicapai, pada masa sama membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyesuaikan operasi mereka

Pengarah Strategi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Jonathan Vela berkata, perkara itu merangkumi tempoh peralihan dan hala tuju yang jelas, sokongan kepada PMKS bagi meningkatkan kemampuan membayar gaji serta rundingan dengan pekerja dan peniaga kecil di lapangan.

Menurutnya, sebarang pelaksanaan secara berperingkat perlu disertai tempoh peralihan dan hala tuju yang jelas bagi membolehkan pekerja memahami kedudukan mereka, selain memberi ruang kepada majikan merancang penyesuaian.

“Pertama, sebarang pelaksanaan secara berperingkat perlu disertai tempoh peralihan dan hala tuju yang jelas.

“Kepastian ini membolehkan pekerja memahami kedudukan mereka dan majikan merancang penyesuaian,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Jonathan berkata, sokongan kepada PMKS pula perlu membantu meningkatkan kemampuan membayar gaji melalui peningkatan produktiviti, latihan pekerja, pendigitalan dan akses kepada bantuan perniagaan yang bersesuaian.

“Ketiga, rundingan perlu mendengar pengalaman pekerja serta peniaga kecil di lapangan, termasuk pengusaha kedai makan, peruncit dan penyedia perkhidmatan.

“Pengalaman mereka perlu melengkapi pandangan persatuan industri dan pertubuhan pekerja,” katanya.

Beliau berkata, penelitian terhadap pelaksanaan gaji minimum perlu menghasilkan pendekatan jelas untuk meningkatkan pendapatan pekerja, di samping membantu majikan menyesuaikan operasi mereka.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, keputusan Kabinet mengecualikan PMKS daripada kenaikan kadar gaji minimum baharu buat masa ini memberi ruang penyesuaian kepada sektor berkenaan, sementara usaha meningkatkan gaji pekerja terus berjalan melalui sokongan Dasar Gaji Progresif.

“Pekerja di kedai kecil juga berdepan kos sara hidup yang sama. Pada masa sama, peniaga kecil memerlukan sokongan untuk membayar gaji yang lebih baik.

“Dasar yang berkesan mesti menjawab kedua-dua realiti ini,” katanya.

Jonathan berkata, bagi pekerja, gaji menentukan kemampuan membayar sewa rumah, membeli makanan, menanggung pengangkutan dan menyediakan keperluan anak-anak.

Bagi peniaga kecil pula, katanya, perubahan kos operasi memerlukan persediaan supaya perniagaan dapat terus bertahan dan pekerjaan dapat dikekalkan.

Beliau berharap penelitian kerajaan itu dapat menghasilkan keputusan yang seimbang dengan peningkatan pendapatan pekerja kekal sebagai matlamat utama.

Menurutnya, pengecualian PMKS daripada kenaikan baharu buat masa ini perlu disertai langkah sokongan dan hala tuju yang jelas supaya pekerja turut menikmati manfaatnya.

“Usaha kerajaan Madani meneliti pelaksanaan gaji minimum mencerminkan keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat, dengan memberi perhatian kepada pendapatan pekerja, kelangsungan perniagaan kecil dan peluang pekerjaan.

“Pendekatan ini penting agar manfaat pembangunan ekonomi dapat dirasai oleh rakyat dan keluarga mereka,” katanya.

Jonathan berkata, matlamat akhirnya ialah memastikan rakyat memperoleh pendapatan yang lebih baik, sementara perniagaan kecil terus berkembang dan menyediakan peluang pekerjaan secara mampan.

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!