Arif Aiman mahu penyokong terus percaya kemampuan Harimau Malaya

BANDUNG - Pemain sayap kebangsaan Arif Aiman Mohd Hanapi merayu penyokong kekal bersama-sama Harimau Malaya dan tidak melontarkan kecaman selepas impian ke final Piala ASEAN FIFA 2026 musnah biarpun mencatat kemenangan besar ke atas Singapura, malam tadi.
Malaysia membelasah seteru Seberang Tambak itu 6-0 dalam aksi terakhir Kumpulan A Divisyen 1 di Stadium Si Jalak Harupat di sini, namun terlepas tiket ke final kepada Indonesia menerusi kelebihan jumlah jaringan.
Kedua-dua pasukan mengumpul tujuh mata dan mencatat perbezaan jaringan yang sama tetapi Indonesia muncul juara kumpulan selepas menjaringkan 11 gol berbanding sembilan oleh Malaysia.
Arif Aiman berkata, penyokong tidak seharusnya hilang kepercayaan terhadap pasukan, sebaliknya terus memberikan sokongan menjelang perlawanan menentang naib juara Kumpulan B di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta pada Isnin.
"Bagi saya, tidak perlu kecewa sebagai penyokong tanah air. Tidak perlu kecam kami. Kami telah memberikan yang terbaik dalam saingan tiga perlawanan ini tanpa bolos.
"(Prestasi) Kita lagi baik daripada pasukan-pasukan yang ada, dan mungkin pasukan ini akan lebih kuat lagi pada masa akan datang, insya-ALLAH,” kata pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu ketika ditemui selepas Malaysia menewaskan Singapura 6-0 di sini.
Beliau berkata, pasukan turut kecewa apabila gagal ke final kerana telah memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang tiga perlawanan kumpulan yang menyaksikan Malaysia mencatat kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh dan seri tanpa jaringan menentang pasukan tuan rumah.
Arif Aiman turut menyifatkan prestasi keseluruhan skuad sebagai amat positif selepas mencatat tiga clean sheet dalam tiga perlawanan, di samping menjaringkan sembilan gol.
"Bagi saya, amat-amat baik. Tiga perlawanan tanpa bolos dan saya rasa ini pasukan yang sangat baik untuk masa akan datang dalam masa terdekat. Mungkin kita (perlu) fokus perlawanan demi perlawanan untuk pasukan kebangsaan,” kata pemain berusia 24 tahun itu.
Malaysia membuka kempen dengan kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh sebelum mengikat tuan rumah Indonesia tanpa jaringan, diikuti kemenangan besar ke atas Singapura.
Pasukan negara akan menentang naib juara Kumpulan B dalam perlawanan penentuan tempat ketiga manakala Indonesia berdepan Thailand dalam final, masing-masing di GBK Isnin depan.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
