Merdeka bukan sekadar bebas daripada penjajahan

KEMERDEKAAN tidak seharusnya difahami sekadar bebas daripada penjajahan fizikal, sebaliknya ia perlu dihayati sebagai kebebasan menyeluruh yang membentuk jiwa, akidah, akhlak, masyarakat dan negara.
Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Dr Nooh Gadot menjelaskan, dalam perspektif Islam kemerdekaan membawa maksud kebebasan seseorang untuk melakukan sesuatu atau meninggalkannya berdasarkan kehendak dan pilihan sendiri, selagi ia berpandukan manhaj Islam.
Menurutnya, kebebasan yang sebenar ialah bebas daripada pengabdian kepada selain ALLAH SWT.
“Dari sudut politik, kemerdekaan bermaksud bebas menentukan pemerintahan sendiri tanpa campur tangan kuasa asing, rakyat berdaulat manakala pemimpin dipilih dan bertanggungjawab kepada ALLAH SWT serta rakyat.
“Dalam aspek ekonomi pula, kemerdekaan bermaksud kemampuan membangunkan ekonomi negara sendiri, mengurus kekayaan alam dengan baik serta memastikan pengagihan rezeki dilakukan secara adil kepada seluruh rakyat,” katanya mengisi slot Pesan Ulama sempena Malaysia #QuranHour di Masjid Al-Sultan Abdullah, Presint Merdeka 118 baru-baru ini.
Dalam konteks sosial dan budaya katanya, kita bebas memelihara identiti bahasa dan budaya bangsa dengan Islam sebagai teras peradaban serta panduan kehidupan rakyat Malaysia.

“Kemerdekaan rohani pula ialah kebebasan untuk beribadah, menghayati agama dan membina peribadi Mukmin yang tinggi akhlaknya. Inilah kemerdekaan yang hakiki,” jelasnya.
Bebaskan umat daripada penyakit sosial
Dalam pada itu, Nooh mengingatkan terdapat beberapa belenggu yang perlu dibebaskan daripada kehidupan umat.
Antaranya ialah perpecahan dan perselisihan faham. Ini kerana perkelahian serta perselisihan pendapat yang tidak berkesudahan hanya merugikan umat, sedangkan perpaduan merupakan kekuatan terbesar bangsa yang merdeka.
Selain itu, kemiskinan dan kemelaratan hidup juga perlu ditangani kerana kemiskinan yang mencengkam boleh merampas maruah dan kebebasan seseorang.
“Umat yang merdeka perlu berusaha membasmi kemiskinan dengan semangat tolong-menolong,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kejahilan dan buta huruf sebagai antara bentuk penjajahan yang paling berat.
“Jahil adalah penjara yang paling berat. Ilmu pula merupakan cahaya yang membebaskan manusia daripada kegelapan dan memartabatkan bangsa di mata dunia,” katanya.
Kedudukan Islam perlu dipertahankan
Nooh turut mengingatkan umat Islam supaya memahami dan mempertahankan kedudukan Islam dalam negara.
Katanya, Islam turut mempunyai kedudukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, selain kedudukannya sebagai agama rasmi negeri-negeri di Malaysia.

“Raja-raja Melayu pula merupakan ketua agama Islam di negeri masing-masing. Kedudukan ini wajib dihormati dan dipertahankan,” katanya.
Dalam masa sama, rakyat perlu menghayati simbol-simbol kebangsaan dan kenegaraan seperti lagu Negaraku, lagu negeri, jata dan bendera.
“Lagu kebangsaan dan lagu negeri bukan sekadar melodi, tetapi mempunyai makna, ikrar dan doa. Fahami liriknya, hayati maknanya dan nyanyikan dengan penuh kebanggaan serta rasa tanggungjawab,” katanya.
Bangkit dan merdeka seutuhnya
Mengakhiri peringatan, Nooh mengajak rakyat Malaysia menghayati kemerdekaan dengan mengenali diri sendiri sebagai Muslim, warganegara dan khalifah ALLAH SWT di muka bumi.
Katanya, umat perlu menjaga akidah dan mempertahankan Islam sebagai cara hidup, bukan sekadar tradisi warisan.

“Bersatu padulah dan jauhi perpecahan. Bina perpaduan berasaskan kebenaran, keadilan dan kasih sayang.
“Pada masa sama, jadikan setiap langkah kehidupan sebagai persediaan untuk menghadap ALLAH SWT dan memperoleh husnul khatimah,” katanya.
Sebagai renungan, Nooh mengingatkan bahawa iblis bukan binasa kerana tidak mengenal ALLAH, tetapi kerana kesombongan apabila merasakan dirinya lebih hebat daripada yang lain.
Justeru, kemerdekaan yang sebenar bukan hanya apabila rantai penjajahan terlerai daripada tubuh, tetapi apabila jiwa bebas daripada kesombongan, akidah bebas daripada penyelewengan, hati bebas daripada penyakit dan masyarakat bebas daripada perpecahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

