Faisal Halim mungkin berehat panjang


BANDUNG - selepas pemain sayap itu mengalami kecederaan tendon dan otot betis kanan.
Ketua jurulatih interim skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe berkata, kecederaan dialami Faisal Halim dijangka memerlukan tempoh pemulihan agak panjang, namun pasukan perubatan negara akan berusaha sedaya upaya memastikan pemain itu kembali cergas.
Beliau mengakui ketiadaan pemain lebih mesra dipanggil "Mickey” itu dirasai pasukan, khususnya selepas pemain berkenaan menjadi antara tonggak yang mampu menawarkan ancaman dan tenaga di bahagian serangan Harimau Malaya.
"Saya rasa pasukan agak rindu juga dengan kehadiran Faisal Halim. Tetapi disebabkan tempoh hari (menentang Indonesia) dia mendapat kecederaan, saya rasa dia terpaksa melupakan perlawanan akan datang. Kita harap Faisal Halim pulih secepat mungkin untuk aksi-aksi akan datang.
"Kemungkinan ambil masa yang agak panjang (proses pemulihan) tetapi pasukan perubatan akan buat sedaya upaya untuk pulihkan Faisal Halim,” kata Cheng Hoe pada sidang media selepas Malaysia mengatasi Singapura 6-0 pada perlawanan terakhir Kumpulan A Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 di sini.
Pada pertembungan dengan Singapura semalam, Faisal Halim yang tidak disenaraikan dalam skuad, dilihat bertongkat hadir ke stadium manakala kaki kanannya turut dipakaikan pendakap sekali gus menunjukkan keseriusan kecederaan dialaminya.
Ketiadaan pemain Selangor FC itu menjadi satu lagi cabaran buat Cheng Hoe dalam mempersiapkan pasukan menjelang perlawanan penentuan tempat ketiga menentang naib juara Kumpulan B, Thailand, di Stadium Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta Isnin depan.
Malaysia menamatkan saingan Kumpulan A Divisyen 1 di tempat kedua menerusi tujuh mata selepas membelasah Singapura 6-0, namun terlepas tiket ke final kepada Indonesia atas kelebihan jumlah jaringan.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
