Peluang Cheng Hoe tunjuk taring

Cheng Hoe
Cheng Hoe
A
A
A

PIALA ASEAN FIFA 2026 di Indonesia bakal menjadi ujian penting buat Tan Cheng Hoe, bukan sahaja dalam usaha membawa Malaysia ke final, malah bagi menentukan peluangnya untuk diserap sebagai pengendali tetap skuad Harimau Malaya.

Sebagai pengendali interim, Cheng Hoe perlu membuktikan keupayaannya kepada barisan pengurusan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika badan induk itu turut mempertimbangkan pendekatan dan wajah baharu untuk pasukan negara.

Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan mengakui Cheng Hoe masih mempunyai peluang untuk dipertimbangkan, namun prestasi sepanjang kejohanan di Indonesia akan menjadi antara perkara yang boleh dinilai sebelum keputusan dibuat.

"Boleh bagi peluang. Tapi kadang-kadang kita perlukan satu benda yang baharu untuk kita bawa. Tapi kalau Tan Cheng Hoe boleh menunjukkan prestasi yang amat baik, itu boleh kita tengok macam mana kelak, INSYA-ALLAH," katanya.

Cheng Hoe kembali mengemudi Harimau Malaya selepas dilantik sebagai pengendali interim susulan pemergian Peter Cklamovski pada Jun lalu.

Bekas jurulatih Kedah itu sebelum ini memegang jawatan Pengarah Teknikal Skuad Kebangsaan sejak April 2025.

Beliau juga mempunyai pengalaman mengendalikan skuad negara dari penghujung 2018 hingga Januari 2022, termasuk membawa Malaysia ke final Piala AFF 2018 sebelum tewas 2-3 secara agregat kepada Vietnam.

Malaysia akan beraksi dalam Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 dari 25 September hingga 5 Oktober, dengan skuad negara diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Singapura dan Bangladesh.

Harimau Malaya membuka kempen menentang Bangladesh di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 25 September sebelum berdepan Indonesia dan Singapura dalam dua aksi berikutnya.

Artikel Berkaitan:

Format pertandingan menyaksikan hanya juara Kumpulan A dan B mara ke final Divisyen 1, sekali gus menjadikan setiap perlawanan peringkat kumpulan penting buat Cheng Hoe dalam usaha membawa Malaysia ke pentas penentuan, selain mengukuhkan peluangnya untuk terus memimpin skuad negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!