Arab Saudi nafi lelaki cuba serang Kaabah

MAKKAH - Video tular yang mendakwa berlaku cubaan pengeboman di Masjidil Haram mencetuskan tanda tanya dalam kalangan pengguna media sosial sebelum pihak berkuasa Arab Saudi menepis dakwaan tersebut pada Jumaat.
Penafian itu dibuat selepas seorang individu ditahan di Kota Suci Makkah. Beberapa jam sebelum itu, klip yang tersebar di beberapa platform media sosial menunjukkan seorang lelaki didakwa sebagai pegebom bunuh diri yang lengkap memakai ves dipasang bahan letupan ditahan pihak berkuasa ketika dia menghampiri Kaabah hingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri menjelaskan bahawa penahanan tersebut tiada kaitan dengan dakwaan cubaan serangan di Masjidil Haram.
Menurut kementerian itu, individu itu diberkas kerana mengganggu orang awam dan sengaja mencetuskan panik kepada jemaah umrah.
“Prosedur undang-undang yang sewajarnya telah diambil sebelum suspek diserahkan kepada pihak pendakwaan awam,” menurut kenyataan itu lagi.
Pihak berkuasa turut menegaskan bahawa dakwaan yang tersebar mengenai kejadian tersebut adalah tidak benar dan menggesa orang ramai agar mendapatkan maklumat sahih daripada sumber rasmi.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai suspek. Perkembangan itu berlaku ketika Saudi berdepan konflik yang semakin memuncak dengan kumpulan Houthi yang disokong Iran dan berpusat di Yemen.
Pada bulan lalu, Riyadh mendakwa Houthi menyerang Makkah diikuti tuduhan terbaharu bahawa proksi Teheran itu turut menyasarkan stesen bekalan elektrik di Kota Madinah.
Houthi yang kini menguasai kawasan strategik di Sanaa bagaimanapun menafikan kedua-dua dakwaan tersebut ketika situasi di Asia Barat semakin tidak menentu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

