Dua transporter ganja ditahan, mengaku terima upah RM10,000

Azry Akmar (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada 56 bungkusan mampatan ganja yang dirampas dalam serbuan di Maran pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang pada Jumaat.
Azry Akmar (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada 56 bungkusan mampatan ganja yang dirampas dalam serbuan di Maran pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN — [DIKEMAS KINI] Dua lelaki yang dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ ditahan selepas polis merampas 56 bungkusan ganja seberat 58.1 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM174,000 di hadapan sebuah homestay di Maran pada Isnin.

Kedua-dua individu yang mempunyai pertalian ipar, masing-masing berusia 44 dan 30 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Maran selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika mengalihkan empat beg dari bonet belakang sebuah kenderaan kira-kira jam 1.20 pagi.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, kedua-dua suspek mengaku ditawarkan bayaran upah sebanyak RM10,000.  

Tambahnya, hasil pemeriksaan terhadap empat beg berkenaan menemukan bungkusan mampatan daun kering yang disyaki mengandungi ganja.

“Beg pertama mengandungi 18 bungkusan, beg kedua 16 bungkusan, manakala beg ketiga dan keempat masing-masing mengandungi 12 dan 10 bungkusan yang dibalut aluminium berwarna keemasan dan merah.

“Berat keseluruhan ganja yang dirampas ialah 58.1 kilogram (kg) dengan anggaran nilai pasaran semasa RM174,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini pada Jumaat.

Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati kumpulan terbabit dipercayai membawa bekalan ke kawasan Pantai Timur atau Pahang buat kali pertama, berbanding sebelum ini yang kebanyakannya tertumpu di sekitar Lembah Klang.

“Kedua-dua suspek menerima arahan untuk membawa bekalan ke tempat yang mempunyai permintaan.

"Bekalan itu dirancang untuk disimpan di homestay berkenaan sebelum diserahkan kepada pembeli, manakala rangkaian terbabit dipercayai berasal dari kawasan utara tanah air,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Azry Akmar menambah, suspek pertama mempunyai tujuh rekod lampau melibatkan empat kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya, satu kesalahan di bawah Akta ATIPSOM serta kesalahan di bawah Akta Penagih Dadah.

Katanya, suspek kedua pula mempunyai lima rekod lampau melibatkan kesalahan di bawah Akta Dadah dan Akta ATIPSOM serta dua rekod dikehendaki di Kedah di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

“Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas saringan awal air kencing mendapati mereka positif methamphetamine.

“Mereka direman bermula 28 September hingga 4 Oktober dan pihak kami percaya permohonan lanjutan reman akan dibuat bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

Azry Akmar memaklumkan polis turut menjalankan siasatan mengikut Akta Dadah (Pelucuthakan Harta) 1988 terhadap kedua-dua suspek berdasarkan aset yang dimiliki mereka.

“Kami akan menjalankan siasatan secara proaktif bagi mengesan anggota kumpulan yang masih berada di luar dan seterusnya memutuskan rangkaian sindiket ini,” tegasnya.

Sementara itu, Azry Akmar berkata, alam operasi khas Op HAWKS yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang dari 28 hingga 30 September lalu, seramai 365 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

Katanya, operasi berkenaan turut membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan RM221,190.

“Antara dadah yang dirampas ialah heroin seberat 340 gram, syabu 120 gram, 728 biji pil yaba seberat 80.5 gram, ganja 58.1kg, daun ketum tujuh gram, air ketum 167 liter dan pil ketamin seberat 37.96 gram,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dadah kepada Pusat Kawalan Polis Kontinjen Pahang atau mana-mana balai polis berhampiran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!