Suri rumah didakwa bunuh ibu

IPOH - Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan membunuh ibunya di sebuah rumah di Menglembu, minggu lalu.
Tertuduh, Chew Loong Thye, 49, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret Norizan Riduan, namun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, ibu seorang anak itu didakwa melakukan pembunuhan terhadap Ching Lai Kheng, 70, di sebuah rumah di Taman Wang, Menglembu dalam daerah Kinta antara jam 7.15 malam hingga 7.30 malam pada 27 September lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Timbalan Pendakwa Raya, Ainin Sofiya Azlaini memaklumkan laporan patologi dan toksikologi masih belum diperoleh selain tiada jaminan ditawarkan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah dia ada mengambil ubat psikiatri.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dirujuk kepada pakar bagi mendapatkan laporan psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 2 November depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan berkenaan termasuk psikiatri.
Sebelum ini, media melaporkan, laporan kes itu diterima daripada menantu mangsa sebelum tangkapan terhadap suspek dibuat tidak lama selepas kejadian.
Mangsa yang berada dalam keadaan terlantar difahamkan baru sahaja diambil pulang dari sebuah pusat jagaan warga emas di Pusing untuk dijaga di rumah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

