Ops PeWA: Kenderaan berpindah tangan, JPJ sukar kesan pemilik berdaftar

Zulkarnain berkata, JPJ mengesan kenderaan warga asing berpindah tangan secara ‘turun-temurun’ tanpa pertukaran hak milik rasmi.
Zulkarnain berkata, JPJ mengesan kenderaan warga asing berpindah tangan secara ‘turun-temurun’ tanpa pertukaran hak milik rasmi.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor mengesan kewujudan kenderaan milik warga asing yang berpindah tangan secara tidak rasmi dari seorang pemilik kepada pemilik lain tanpa proses pertukaran hak milik yang sah.

Pengarah JPJ Johor, Zulkarnain Yasin berkata, perkara itu dikenal pasti menerusi Ops Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) yang dijalankan sejak Jun lalu.

Menurut beliau, kira-kira 70 peratus kenderaan yang digunakan warga asing dipercayai dimiliki sendiri oleh golongan tersebut, manakala selebihnya disewa atau masih menggunakan nama pemilik asal.

“Kenderaan ini berpindah tangan secara tidak rasmi. Individu yang membeli kenderaan tersebut pada asalnya mungkin mempunyai pasport dan dokumen yang sah.

“Namun apabila mereka pulang ke negara asal atau meninggalkan Malaysia, kenderaan itu dijual kepada individu lain dan terus bertukar tangan beberapa kali sehingga pemilik berdaftar asal sukar dikesan,” katanya selepas Ops PeWA JPJ Johor di Bangunan JPJ Negeri Johor pada Jumaat.

Menurutnya, sebahagian besar motosikal dan kereta yang digunakan warga asing diperoleh menerusi transaksi tidak rasmi tanpa pertukaran hak milik yang direkodkan.

“Mungkin sekitar 30 peratus lagi masih menggunakan nama pemilik asal atau melibatkan kenderaan yang disewa. Perkara itu masih dalam siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, pemeriksaan yang dijalankan mendapati ramai warga asing yang ditahan mempunyai rekod kesalahan berulang.

Katanya, tindakan sitaan terus dilaksanakan selain kes-kes tertentu dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang Ops PeWA yang bermula pada 1 Jun lalu, sebanyak 3,072 notis saman dikeluarkan, selain 236 notis arah pemeriksaan dan 31 notis larangan penggunaan kenderaan.

“Kesalahan tertinggi dikesan ialah tidak memiliki lesen memandu melibatkan 788 kes.

“Ia diikuti 693 kes membabitkan cukai jalan tamat tempoh dan 528 kes kerana tiada perlindungan insurans,” katanya.

Sebanyak 3,072 notis saman dikeluarkan menerusi Ops PeWA yang dilaksanakan JPJ Johor sejak 1 Jun lalu.
Sebanyak 3,072 notis saman dikeluarkan menerusi Ops PeWA yang dilaksanakan JPJ Johor sejak 1 Jun lalu.

Menurut beliau, tindakan itu hasil pemeriksaan terhadap 10,580 kenderaan sepanjang operasi dijalankan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 347 motosikal, 69 kereta dan 24 kenderaan lain termasuk lori telah disita.

Zulkarnain berkata, operasi berkenaan turut menyaksikan seramai 1,346 warga asing ditahan untuk tindakan lanjut.

“Daripada jumlah itu, 10 individu merupakan pemegang kad Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR),” katanya.

Beliau menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan jalan raya dan mengelakkan penyalahgunaan pemilikan kenderaan dalam kalangan warga asing.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!