2 minit bertukar 7 minit, FAM tuntut jawapan FIFA

FAM mendesak jawapan daripada FIFA mengenai perubahan masa tambahan daripada dua minit kepada tujuh minit.
FAM mendesak jawapan daripada FIFA mengenai perubahan masa tambahan daripada dua minit kepada tujuh minit.
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) akan mendapatkan penjelasan rasmi daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung perubahan masa tambahan daripada dua minit kepada tujuh minit ketika perlawanan Indonesia menentang Bangladesh dalam saingan Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada Khamis.

Dalam satu kenyataan, FAM memaklumkan pihaknya akan mengemukakan permohonan rasmi kepada FIFA bagi mendapatkan penjelasan mengenai asas, prosedur dan keadaan yang membawa kepada perubahan tempoh masa tambahan berkenaan.

Menurut FAM, pengurusan masa dalam sesebuah perlawanan merupakan aspek penting bagi memastikan pertandingan berlangsung secara adil, telus dan selaras dengan peraturan yang ditetapkan.

“Perkara ini wajar diberikan perhatian serius memandangkan perlawanan Indonesia dan Bangladesh mempunyai kaitan dengan penentuan kedudukan akhir Kumpulan A, sekali gus memberi kesan kepada pasukan yang layak ke perlawanan akhir,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, FAM menggesa FIFA meneliti insiden berkenaan serta memberikan penjelasan terperinci mengenai keputusan yang dibuat oleh pegawai perlawanan.

Katanya, penjelasan tersebut penting bagi menentukan sama ada perubahan masa tambahan itu dibuat mengikut prosedur dan peraturan yang berkuat kuasa.

Pada masa sama, FAM menegaskan bahawa permohonan tersebut bukan bertujuan mempersoalkan keputusan perlawanan atau mempertikaikan pencapaian mana-mana pasukan.

“Sebaliknya, FAM hanya ingin mendapatkan penjelasan rasmi berhubung proses dan prosedur pengadilan bagi memastikan kekeliruan yang timbul mengenai perubahan masa tambahan itu dapat diperjelaskan,” menurut kenyataan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!