KDN digesa perinci jumlah Rohingya dihantar

SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa memperincikan jumlah etnik Rohingya daripada senarai 1,476 pelarian yang terlibat dalam fasa pertama Program Penghantaran Pulang Tahanan Warganegara Myanmar pada Selasa.
Pengamat dan pemerhati isu Rohingya, Norman Fernandez berkata, tiada apa boleh dibanggakan dalam urusan diplomasi antara Malaysia dengan Myanmar jika belum ada kejelasan berhubung angka penglibatan warga Rohingya.
Daripada 1,476 warga Myanmar itu, Norman berpandangan sebahagian besarnya pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) seluruh Semenanjung Malaysia atas kesalahan tamat sah laku Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) atau visa kerja standard, ditahan semasa operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), bekerja menggunakan visa pelancong dan lain-lain.
Peguam tersebut menambah, terdapat kemungkinan sebilangan kecil sahaja ‘puak hanyut’ Rohingya yang tidak berdaftar sebagai pelarian atau pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dilibatkan dalam proses penghantaran pulang kerana umum mengetahui etnik itu tidak diiktiraf kerajaan Myanmar sebagai warganegara.
“Sebab itulah saya minta kerajaan nyatakan dengan jelas berapa ramai etnik Rohingya yang terbabit. Saya pasti ramai lagi kumpulan etnik lain turut dihantar pulang secara sukarela.
“Kalau Malaysia hantar pulang 1,476 orang, berbaki 3,524 lagi dari 5,000 orang, bila pula ia akan berlaku? Walaupun berperingkat, penghantaran mesti jelas bila dan berapa ramai kerajaan Myanmar boleh terima semula rakyatnya.
“Selagi tidak dinyatakan, tak ada apa-apa yang boleh dibanggakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Norman menambah, tuntutan utama rakyat adalah mendesak Malaysia menghantar pulang pelarian Myanmar khususnya etnik Rohingya asal Rakhine dan menggesa negara tersebut menerima kembali puak minoriti Islam itu.
Sementara itu, beliau turut meminta kementerian membenarkan sahaja mana-mana pengamal media agensi swasta, bukan hanya terhad kepada media kerajaan untuk membuat liputan Program Penghantaran Pulang Tahanan Warganegara Myanmar.
Baginya, tiada apa perlu diselindungkan daripada pengetahuan rakyat melainkan terdapat permainan persepsi atau cubaan membentuk pandangan umum demi kepentingan tertentu.
“Untuk tranparensi dan keadilan, sewajarnya media arus perdana dan pemberita platform digital yang berdaftar dibenarkan membuat liputan berita proses penghantaran pelarian Myanmar kerana ini isu rakyat,” jelasnya lagi.
Seramai 1,476 pelarian Myanmar terdiri dari 1,370 lelaki, 79 wanita serta 27 kanak-kanak dihantar pulang dalam fasa pertama Program Penghantaran Pulang Tahanan Warganegara Myanmar di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia Lumut, Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
