'Saya kesian tengok orang nak lalu' - Pemuda bersihkan longkang ketika banjir raih pujian

Mohammad Amirruddin sanggup masuk ke dalam longkang hampir dua jam bagi membersihkan saliran tersumbat meraih pujian pengguna media sosial.
Mohammad Amirruddin sanggup masuk ke dalam longkang hampir dua jam bagi membersihkan saliran tersumbat meraih pujian pengguna media sosial.
A
A
A

SHAH ALAM – Tindakan murni seorang pemuda yang sanggup masuk ke dalam longkang hampir dua jam dalam suasana hujan bagi membersihkan saliran tersumbat di laluan Taman Perling, Johor Bahru meraih pujian pengguna media sosial.

Penghantar sambilan, Mohammad Amirruddin Mohd Rizal, 21, berkata, dia mengambil tindakan tersebut selepas melihat keadaan lalu lintas yang sesak susulan hujan lebat pada petang Rabu.

Menurutnya, dalam situasi tidak terduga itu, dia melihat ramai pengguna jalan raya yang terpaksa membuat pusingan U bagi mengelak kenderaan dinaiki ditenggalami banjir.

“Saya kesian tengok orang nak lalu sebab mereka tidak tahu nak ikut jalan mana. Kereta pun banyak yang sudah berhenti dan ada yang rosak.

“Jadi, bila keadaan sudah tidak terlalu sesak, saya turun dan cuba cari air itu datang dari mana. Selepas diperiksa punca longkang tersumbat disebabkan batu dan sampah,” katanya yang menetap di Tampoi kepada Sinar Harian.

Video memaparkan Mohammad Amirruddin membantu mengalihkan sampah dan batu besar dari longkang tular di Threads dengan mencecah 256,747 tontonan dengan 7,900 tanda suka.

Mohammad Amirruddin (kanan) pernah bekerja sebagai pencuci di Singapura.
Mohammad Amirruddin (kanan) pernah bekerja sebagai pencuci di Singapura.

Mohammad Amirruddin yang sebelum ini bekerja sebagai pencuci di Singapura berkata, pengalaman bekerja di negara berkenaan membuatkannya lebih peka terhadap keadaan longkang dan saliran.

Artikel Berkaitan:

“Di Singapura, longkang besar dan saya memang selalu periksa longkang. Kalau ada masalah keselamatan, syarikat pun boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Tambahnya, dua hingga tiga pemandu e-hailing turut berhenti untuk membantu selepas melihat tindakannya, manakala seorang daripada mereka merakam video tersebut.

“Bila nampak air mula surut dan orang ramai boleh bergerak dengan lebih lancar, saya rasa gembira.

“Ekonomi sekarang bukan senang sebab itu saya risau kalau kereta orang rosak. Kalau mereka nak buat pusingan U pun jauh,” jelasnya.

Menurut Amirruddin, tindakannya itu didorong oleh pesanan bapa dan arwah neneknya supaya tidak menyusahkan orang lain, sentiasa berbuat baik serta bertanggungjawab.

“Saya buat kerana ALLAH SWT dan reda dengan apa yang berlaku. Kalau jadi apa-apa, saya fikir mungkin saya mati syahid.

“Dulu saya memang suka bermain di parit ketika tinggal dengan nenek. Jadi apabila nampak keadaan macam ini, saya rasa terpanggil untuk bantu,” kongsinya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!