'Villa mewah' dalam penjara terbongkar

Sebanyak 10 bangunan di Penjara Kelas 2A Cibinong di Bogor, Jawa Barat dirobohkan pada Rabu. Foto AFP
Sebanyak 10 bangunan di Penjara Kelas 2A Cibinong di Bogor, Jawa Barat dirobohkan pada Rabu. Foto AFP
A
A
A

JAKARTA – Sebuah jengkaut merobohkan 'villa mewah' yang terletak di dalam sebuah penjara Indonesia susulan pendedahan segelintir banduan dipercayai menerima layanan istimewa.

Siasatan awal mendapati, kewujudan sel khas itu mempunyai kaitan dengan penyalahgunaan kuasa.

Sebanyak 10 bangunan di Penjara Kelas 2A Cibinong di Bogor, Jawa Barat dirobohkan pada Rabu selepas anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan pihak berkuasa penjara bersetuju dengan langkah perobohan struktur tersebut.

Mereka mendakwa, bangunan itu tidak disenaraikan sebagai aset kerajaan dan dibangunkan tanpa permit di sepanjang tebing sungai yang dilarang untuk pembinaan.

Rakaman video menunjukkan sejumlah perabot seperti tilam, sofa, almari, peti sejuk dan televisyen dikeluarkan dari 'vila mewah' berkenaan sebelum dimuatkan ke dalam lori.

Antara perabot yang disenaraikan sebagai barang bukti. Foto AFP
Antara perabot yang disenaraikan sebagai barang bukti. Foto AFP

Kementerian Imigresen dan Pemasyarakatan mengklasifikasikan kes itu sebagai pelanggaran disiplin serius yang boleh membawa kepada tindakan tegas termasuk penurunan pangkat dan pemecatan.

“Ada pihak menyalahgunakan kuasa yang diberikan kepada mereka,” kata Ketua Inspektorat kementerian itu, Rudi Setiawan.

Artikel Berkaitan:

Perobohan itu dijalankan seminggu selepas Ombudsman Nasional Indonesia mendapati beberapa banduan bersenang-lenang tinggal di luar blok penjara biasa dalam kediaman yang dilengkapi kemudahan luar biasa ketika pemeriksaan mengejut pada 23 September lalu.

Pada mulanya, pemeriksa mahu memasuki blok sel biasa tetapi tidak dibenarkan berbuat demikian walaupun telah menunjukkan surat tugasan rasmi.

Mereka kemudiannya menyerbu kawasan berpagar terletak kira-kira 100 meter dari blok penjara dan menemui lebih daripada 10 unit kediaman yang menyerupai rumah inap, unit teres dan vila.

Sesetengah kediaman dihuni oleh beberapa banduan manakala yang lain hanya sel individu.

Banduan mendakwa mereka membayar sejumlah wang untuk 'penginapan' selesa itu. Foto AFP
Banduan mendakwa mereka membayar sejumlah wang untuk 'penginapan' selesa itu. Foto AFP

Seorang banduan juga mengakui bahawa dia membayar untuk menginap di sel khas tersebut.

Penyiasat bagaimanapun belum menentukan jumlah atau kepada siapa bayaran itu dibuat.

Lima digantung tugas

Susulan pembongkaran menggemparkan itu, seramai lima pegawai kanan termasuk warden dan ketua keselamatan penjara digantung tugas pada 26 September lalu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pemasyarakatan, Mashudi menegaskan bangunan tersebut ialah kediaman rasmi kakitangan penjara.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa 13 daripada 16 bangunan itu tidak didaftarkan dalam sistem aset kerajaan.

Pihak berkuasa mengangkat televisyen yang turut disediakan dalam bilik istimewa itu. Foto AFP
Pihak berkuasa mengangkat televisyen yang turut disediakan dalam bilik istimewa itu. Foto AFP

Penyiasat turut meneliti perolehan sebuah gimnasium dan bilik yang dirancang mahu digunakan sebagai simulator golf.

"Simulator tersebut belum siap sepenuhnya dan hanya kerja pemasangan permaidani telah dilakukan," ujar Rudi.

Menurutnya lagi, penyiasat masih belum mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dan perlu meneliti keterangan serta bukti lain sebelum membuat kesimpulan.

Pihak berkuasa turut memelihara bukti kukuh yang diperoleh sebelum kerja perobohan dilakukan.

“Kesemua 'aset haram' telah direkodkan dan disenaraikan,” kata Timbalan Pengerusi Komisi XIII DPR, Sugiat Santoso.

Tambahnya, Komisi XIII yang bertanggungjawab mengawasi reformasi peraturan dan hak asasi manusia turut menggesa agar bangunan serta kemudahan yang tidak dibenarkan di penjara di seluruh negara dirobohkan atau diambil tindakan sewajarnya, bagi memastikan semua banduan menerima layanan yang adil.

Laporan siasatan bakal dikemukakan kepada Komisi XIII menerusi satu lagi sesi pendengaran DPR pada Isnin depan. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!