IKS Sri Semarak: Usaha cari jalan tengah menjaga kepentingan semua - Afdlin Shauki

Afdlin
Afdlin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu pengosongan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sri Semarak, Setapak di sini hampir mencapai penyelesaian dengan mengambil kira kepentingan pengusaha, pekerja, keluarga serta pembangunan kawasan berkenaan.

Penyelaras Zon Parlimen Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki Aksan berkata, hasil perbincangan intensif yang dijalankan bersama pihak berkaitan, proses pemindahan telah dilaksanakan dengan lebih teratur.

"Dalam proses ini, setiap pihak terpaksa bertolak ansur. Para pengusaha menerima hakikat bahawa mereka perlu mengosongkan kawasan tersebut dan memberikan laluan kepada pembangunan.

"Pihak 59 Inc pula telah menunjukkan kesediaan membantu proses peralihan dengan menawarkan bayaran ex-gratia serta bantuan berkaitan pemindahan," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.

Terdahulu, seramai 98 pengusaha IKS Sri Semarak yang beroperasi sejak 30 tahun lalu hilang punca pendapatan selepas kawasan berkenaan dirobohkan.

Afdlin berkata, menerusi perbincangan bersama Pejabat Tanah dan Galian (PTG), tiga lokasi turut dikenal pasti untuk dipertimbangkan sebagai tapak baharu bagi membantu pengusaha meneruskan perniagaan.

"Perkara ini masih memerlukan proses dan tindakan susulan pihak-pihak berkaitan," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa Surau Al-Jabbar kawasan tidak akan disentuh.

Artikel Berkaitan:

Jalan tengah terhadap isu pengosongan pengusaha IKS Sri Semarak, Kuala Lumpur telah dijalankan dengan menjaga kepentingan semua pihak.
Jalan tengah terhadap isu pengosongan pengusaha IKS Sri Semarak, Kuala Lumpur telah dijalankan dengan menjaga kepentingan semua pihak.

Katanya, surau berkenaan merupakan antara surau yang disenaraikan secara rasmi oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

"Hasil perbincangan yang telah dilakukan, tapak Surau Al-Jabbar akan terus dipelihara untuk kegunaan surau.

"Urusan berkaitan tanah tersebut sedang diselaraskan dengan pihak berkuasa agama berkaitan supaya kedudukannya dapat disempurnakan melalui proses yang sewajarnya," katanya.

Afdlin berkata, Surau Al-Jabbar bukan sekadar sebuah bangunan, sebaliknya telah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan komuniti dan pengusaha IKS di kawasan berkenaan.

"Rekod sejarah awam juga menunjukkan hubungan lama surau tersebut dengan komuniti IKS setempat.

"Alhamdulillah, dalam kita mencari penyelesaian kepada isu pengusaha, kita juga dapat memastikan surau ini terus terpelihara untuk komuniti," ujar beliau.

Pada masa sama, Afdlin yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Setiawangsa berkata, beberapa perkara masih perlu diperhalusi dan semua pihak diminta memberi ruang kepada proses berkenaan diselesaikan tanpa tindakan atau kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan.

“Ini bukan kemenangan satu pihak terhadap pihak yang lain.

"Penyelesaian terbaik adalah apabila semua pihak sanggup memberikan sedikit supaya semua pihak boleh bergerak ke hadapan. Itulah yang sedang kita cuba lakukan di IKS Sri Semarak,” katanya.

Beliau turut menghargai peranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh; Datuk Bandar Kuala Lumpur; PTG serta agensi kerajaan dan pihak berkaitan dalam usaha mencari penyelesaian isu berkenaan.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!