'Tuduhan 'Yamtuan belaan DAP' melampau' - Arul Kumar

Arul Kumar (empat dari kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Seremban
Arul Kumar (empat dari kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Seremban
A
A
A

SEREMBAN - DAP Negeri Sembilan menyelar tuduhan pihak tertentu yang berterusan mengaitkan parti berkenaan dengan institusi Diraja negeri ini.

Pengerusinya, J Arul Kumar berkata, tindakan tersebut secara tidak langsung akan menjatuhkan imej dan maruah institusi Diraja yang sepatutnya dihormati oleh semua pihak.

"Sebagai parti politik, sudah tentu kita biasa berhadapan dengan pelbagai kritikan kerana ada pihak yang tidak setuju dengan kita.

"Tapi apabila mengaitkan institusi Diraja dengan parti politik dengan membuat tuduhan tidak sepatutnya seperti mengatakan 'Yamtuan belaan DAP', ini adalah sesuatu yang sudah melampaui batas," katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepas membuat laporan polis terhadap pemilik akaun yang menggunakan nama 'Khalide Al Walid', yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini pada Khamis.

Menerusi akaun Facebook terbabit, pemiliknya membuat hantaran berbunyi, 'Yamtuan belaan DAP yang sanggup gadai tanah adat demi kuasa, sebab itu 4 Undang memutuskan Yamtuan ini diturunkan'.

Mengulas lanjut perkara berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai itu menegaskan bahawa parti tersebut tidak pernah campur tangan dalam urusan melibatkan tanah adat atau agama Islam seperti yang didakwa.

Arul Kumar (tengah)
Arul Kumar (tengah)

Artikel Berkaitan:

"Saya masih ingat apabila ada isu berkaitan dengan tanah adat, kerajaan negeri pada masa itu terus menolak sahaja tanpa melihat apa-apa sebab.

"Begitu juga berkenaan DAP masuk mesyuarat Pejabat Agama di Port Dickson. Itu bukan mesyuarat, sebaliknya kita sebagai wakil rakyat telah diberikan taklimat tentang perjalanan organisasi agama," katanya.

Jelasnya, mana-mana individu boleh berbeza pendapat, tetapi krisis yang sedang berlaku ketika ini bukanlah berkaitan politik atau soal merebut kuasa.

Sebaliknya, kata Arul Kumar, ia melibatkan institusi Diraja dan perlu diselesaikan sebaik mungkin mengikut prosesnya.

"Tapi saya dapati apa yang sedang berlaku ketika ini sudah berada pada tahap kritikal apabila pelbagai pihak mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya terhadap institusi Diraja.

"Saya juga khuatir kandungan tersebut boleh memberikan gambaran dan persepsi yang salah kepada masyarakat bahaw Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dikawal atau dipengaruhi oleh DAP dalam menjalankan fungsi baginda,"katanya.

Tegas Arul Kumar, semua pihak perlu memastikan krisis yang sedang berlaku dapat diselesaikan segera sekali gus bagi membolehkan kerajaan negeri berfungsi dengan baik.

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana hantaran yang secara terang membuat tuduhan tidak sepatutnya terhadap institusi Diraja, termasuklah Undang Yang Empat.

"Kalau kita terus biarkan hantaran-hantaran sebegini di media sosial tanpa ada sebarang tindakan, sudah tentu lebih ramai lagi yang akan berani buat tindakan sama.

"Ia secara tidak langsung akan menjatuhkan imej dan maruah institusi Diraja khususnya di Negeri Sembilan, termasuklah Undang Yang Empat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!