Polis kesan dua beradik hilang

AMPANG JAYA - Dua beradik berusia 16 dan 17 tahun hilang selepas masing-masing keluar dari rumah di Lembah Jaya Utara, di sini, pada hujung minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, polis menerima laporan berhubung kehilangan kedua-dua pelajar Tingkatan Empat dan Lima itu daripada ibu mereka.
Menurut laporan, remaja pertama, Syazana Qurratu Aini Zulhazmi, 17, keluar untuk makan bersama rakannya di kawasan berhampiran rumah pada kira-kira jam 8 malam, Sabtu lalu, namun tidak pulang sehingga kini.
"Pada keesokan harinya, adiknya, Nur Qistina Fhatanah Zulhazmi, 16, pula memberitahu mahu ke karnival sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kosas," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Khairul Anuar berkata, Syazana Qurratu Aini mempunyai ketinggian 159 sentimeter (cm), berat 45 kilogram (kg) dan berkulit cerah, manakala Nur Qistina Fhatanah mempunyai ketinggian 155cm, berat 45kg dan berkulit hitam manis.
Syazana Qurratu Ain merupakan anak sulung sementara Nur Qistina Fhatanah adalah anak kedua dalam keluarga itu. - Awani
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kedua-dua remaja berkenaan diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dengan segera.
Maklumat juga boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Sarjan Mejar Afizah Zainal di talian 017-218 5192
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
