[VIDEO] 83 kontena penuh barang seludup RM114.35 juta dirampas

A
A
A

PELABUHAN KLANG - Taktik membuat pengikraran palsu dan menyembunyikan pelbagai komoditi dalam kontena terbongkar menerusi rampasan serta operasi membabitkan 83 kontena dan dua premis perniagaan bernilai RM114.35 juta termasuk duti dan cukai antara April hingga Ogos lalu.

Noraidah (tiga dari kiri) menunjukkan antara pelbagai barangan dirampas menerusi siri operasi dan serbuan dijalankan.
Noraidah (tiga dari kiri) menunjukkan antara pelbagai barangan dirampas menerusi siri operasi dan serbuan dijalankan.

Operasi dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor melibatkan rampasan 135 juta batang rokok putih, minuman keras, tembakau, barangan elektrik, dapur gas serta besi buruk dan sisa plastik.

Pengarah JKDM Selangor, Noraidah Ishak, berkata, rampasan itu dilakukan menerusi Operasi Renjat 2026, Operasi Sentinel Siri 1/2026 dan Operasi Demeter XII.

Beliau berkata, kes pertama menerusi Operasi Renjat 2026 dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga (ST) membabitkan pemeriksaan 30 kontena di Zon Bebas Pelabuhan Klang antara 15 April hingga 15 Ogos lalu.

Ujarnya, hasil pemeriksaan menemukan 29,797 unit barangan elektrik dan 3,831 unit dapur gas yang dipercayai diimport tanpa Perakuan Kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga.

"Nilai rampasan dianggarkan RM2.61 juta manakala duti dan cukai sebanyak RM812,426, menjadikan jumlah keseluruhan RM3.42 juta.

"Siasatan mendapati terdapat dua modus operandi digunakan iaitu mengikrarkan jenis dagangan dengan betul tetapi gagal mengemukakan Perakuan Kelulusan serta membuat pengikraran tidak benar dalam Borang Kastam No. 1," katanya dalam sidang media di Pejabat JKDM Pelabuhan Utara di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Antara barangan yang dikesan menerusi pemeriksaan dijalankan dalam operasi sebelum ini.
Antara barangan yang dikesan menerusi pemeriksaan dijalankan dalam operasi sebelum ini.

Katanya, bagi kes kedua menerusi Operasi Sentinel Siri 1/2026, JKDM Selangor menyerbu dua premis perniagaan di sekitar Lembah Klang selain memeriksa 15 kontena di Zon Bebas Pelabuhan Klang.

"Pemeriksaan menemukan 135 juta batang rokok putih, 14,488.54 liter minuman keras dan 5,672 kilogram tembakau dengan nilai keseluruhan termasuk duti dan cukai sebanyak RM105.31 juta.

"Modus operandi kes itu termasuk tidak mengikrarkan dagangan dalam manifes bagi kontena berstatus pemindahan serta membuat pengikraran tidak benar dengan mengisytiharkan barangan sebagai perabot dan pakaian bagi mengelak dikesan JKDM," katanya.

Sementara itu, Noraidah berkata, kes ketiga menerusi Operasi Demeter XII membabitkan 38 kontena yang diperiksa di Zon Bebas Pelabuhan Klang antara 15 hingga 31 Julai lalu.

"Pemeriksaan menemukan 394,747 kilogram besi buruk dan 558,994.50 kilogram sisa plastik yang dipercayai tidak mempunyai permit import dengan nilai keseluruhan termasuk duti dan cukai RM5.62 juta.

"Modus operandi digunakan adalah membuat pengimportan tidak benar dalam Borang Kastam No. 1 dengan mengisytiharkan dagangan sebagai enjin terpakai dan alat ganti, kepingan tembaga, aloi aluminium, kepingan ABS, plastik PS dan bahan PE bagi mengelak dikesan pihak JKDM," katanya.

Jelasnya, ketiga-tiga kes terbabit masih dalam siasatan mengikut peruntukan Akta Kastam 1967.

"Secara keseluruhan, nilai komoditi yang dirampas dalam ketiga-tiga kes itu berjumlah RM19.93 juta, manakala duti dan cukai sebanyak RM94.42 juta, menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM114.35 juta," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!