104 sukarelawan kesihatan dimasukkan hospital selepas ambil suplemen

NAN - Seramai 104 sukarelawan kesihatan dimasukkan ke hospital selepas mengalami sesak dada, kemerahan pada muka dan badan, ruam kulit serta tekanan darah tinggi selepas mencuba sejenis suplemen ketika mengikuti kursus latihan di daerah Na Noi, utara Thailand pada Ahad.
Menurut laporan KhaoSod, seorang individu yang mengiringi penceramah jemputan memperkenalkan suplemen berkenaan sebelum mengajak peserta mencubanya.
Dalam tempoh kira-kira 15 minit selepas mengambil produk itu, beberapa peserta mula mengalami gejala berkenaan, manakala sebahagian daripada mereka turut pengsan sebelum dikejarkan ke Hospital Na Noi untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Daripada 163 peserta yang menghadiri latihan tersebut, seramai 129 mengambil suplemen berkenaan.
Daripada jumlah itu, 104 peserta dilaporkan mengalami gejala, manakala 25 lagi tidak mengalami sebarang kesan luar biasa.
Seramai 21 daripada mereka yang mengalami gejala mendapatkan rawatan di Hospital Na Noi, dengan tujuh daripadanya dimasukkan ke wad untuk menerima rawatan lanjut.
Penolong pegawai perubatan Pejabat Kesihatan Awam Wilayah Nan, Chatchapat Phanit memaklumkan bahawa pasukan kesihatan sedang memantau semua peserta yang terjejas, khususnya mereka yang masih memerlukan pemerhatian rapi.
"Hospital Na Noi bersama Pejabat Kesihatan Awam wilayah turut mengambil sampel suplemen berkenaan untuk dihantar ke Pusat Sains Perubatan Wilayah bagi menjalani analisis makmal.
"Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan terdapat bahan cemar atau kandungan tertentu dalam produk itu yang mempunyai kaitan dengan gejala dilaporkan," katanya pada Isnin.
Sementara itu, pegawai dari Balai Polis Na Noi sudah bertemu pengedar produk berkenaan bagi mendapatkan maklumat dan mendengar penjelasan berhubung kejadian tersebut.
Pengedar itu bagaimanapun mendakwa kemerahan pada muka dan badan serta pengembangan saluran darah adalah kesan normal selepas mengambil suplemen berkenaan.
Pihak berkuasa berkata, penjelasan itu masih memerlukan penilaian perubatan dan analisis makmal secara rasmi.
Punca sebenar kejadian masih belum disahkan dan pihak berkuasa kini menunggu keputusan analisis makmal bagi menentukan sama ada suplemen berkenaan mempunyai kaitan secara langsung dengan gejala yang dialami peserta.
Chatchapat menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika mengambil produk yang mempunyai kandungan atau maklumat keselamatan yang tidak jelas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
