Bila privasi jadi kandungan

Fenomena oversharing di media sosial semakin ketara apabila kehidupan peribadi dijadikan kandungan demi perhatian. Foto hiasan
Fenomena oversharing di media sosial semakin ketara apabila kehidupan peribadi dijadikan kandungan demi perhatian. Foto hiasan
A
A
A

DAHULU, hal peribadi kekal dalam ruang peribadi. Masalah rumah tangga dibincangkan bersama keluarga, perselisihan pasangan diselesaikan secara tertutup, dan kehidupan sendiri tidak perlu diketahui orang luar.

Kini, satu hantaran media sosial sudah cukup untuk menjadikan hal paling peribadi tontonan ratusan, malah ribuan orang.

Daripada putus cinta, konflik keluarga dan masalah kewangan hingga lokasi serta pengalaman sukar, semakin banyak kisah peribadi dikongsi kepada umum.

Persoalannya, bilakah perkongsian berubah menjadi terlebih kongsi? Fenomena ini semakin ketara dalam masyarakat yang bergantung pada media sosial.

Data menunjukkan 30.7 juta pengguna media sosial di Malaysia pada akhir 2025, bersamaan 85 peratus penduduk, manakala penembusan internet mencecah 98.3 peratus.

Dalam ruang digital sebesar ini, perhatian menjadi komoditi bernilai teras kepada ekonomi perhatian.

Apabila masa pengguna terhad, platform bersaing untuk mengekalkan perhatian melalui tontonan, bacaan dan interaksi.

Kandungan yang mencetuskan komen atau perkongsian mempunyai nilai tersendiri. Sebab itu, kisah biasa mudah berlalu, manakala konflik, kejutan dan emosi lebih pantas menarik perhatian.

Dalam keadaan ini, kehidupan peribadi boleh menjadi aset kandungan apabila kisah putus cinta atau masalah keluarga meraih ribuan tontonan, sokongan dan pengikut.

Artikel Berkaitan:

Apabila perkongsian menerima perhatian, wujud dorongan untuk mengulanginya. Kongsi, dapat perhatian, rasa dihargai, kemudian kongsi lagi.

Algoritma turut memainkan peranan. Kandungan yang menerima banyak interaksi berpotensi disyorkan kepada lebih ramai pengguna, manakala tingkah laku pengguna membantu menentukan kandungan yang muncul seterusnya.

Ini mewujudkan kitaran antara apa yang menarik perhatian pengguna dengan apa yang terus diberikan kepada mereka. Namun, perhatian yang menguntungkan dari sudut angka tidak semestinya menguntungkan kehidupan seseorang.

Lebih rumit apabila perkara yang dikongsi bukan lagi mengenai diri sendiri. Kisah pasangan, anak, ibu bapa, rakan atau rakan sekerja turut menjadi kandungan, sedangkan mereka mungkin tidak pernah memberikan persetujuan.

Di sinilah budaya oversharing perlu dilihat dalam konteks lebih besar. Ia bukan semata-mata soal individu yang tidak tahu menjaga privasi, tetapi turut berkait dengan ekosistem digital yang memberikan nilai kepada perhatian.

Apabila setiap pengalaman dilihat sebagai peluang menghasilkan kandungan, kita mungkin mula mengalami sesuatu bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk dikongsi.

Lebih membimbangkan, internet tidak mempunyai ingatan yang pendek. Hantaran yang dianggap kecil ketika emosi sedang memuncak boleh disimpan, disebarkan semula atau muncul kembali bertahun-tahun kemudian.

Ini tidak bermakna semua cerita peribadi perlu disembunyikan. Perkongsian pengalaman boleh membantu orang lain, membuka perbincangan dan membina sokongan.

Cuma, sebelum menekan butang post, mungkin kita perlu bertanya satu soalan.

Adakah semua yang menarik perhatian orang lain perlu menjadi sebahagian daripada kehidupan awam kita?

Dalam ekonomi yang menjadikan perhatian sebagai mata wang, kemampuan untuk mendapat perhatian memang bernilai. Tetapi kemampuan menentukan apa yang tidak perlu dikongsi mungkin lebih berharga.

Privasi bukan bermaksud menyembunyikan kehidupan. Kadangkala, privasi hanyalah hak untuk menentukan ada sebahagian daripada kehidupan kita yang tidak perlu menjadi kandungan.

*Liza Mokhtar ialah wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!