California iktiraf Aidilfitri, Aidiladha sebagai cuti umum rasmi

HAMILTON - Negeri California di Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Aidilfitri dan Aidiladha secara rasmi sebagai cuti umum di bawah undang-undang baharu yang ditandatangani oleh Gabenor Gavin Newsom, lapor Anadolu Ajansi.
Rang Undang-Undang Perhimpunan 2017 (Assembly Bill 2017) yang diluluskan menjadi undang-undang pada Ahad dan memasukkan kedua-dua perayaan utama umat Islam itu ke dalam kalendar cuti umum rasmi wilayah berkenaan.
Aidilfitri menandakan berakhirnya Ramadan, iaitu bulan berpuasa bagi umat Islam, manakala Aidiladha disambut semasa musim kemuncak ibadah haji tahunan.
Menerusi undang-undang itu, sekolah awam dan kolej komuniti diberi kebenaran untuk bercuti pada kedua-dua perayaan berkenaan menerusi tatacara tempatan sedia ada, manakala kakitangan awam yang layak juga boleh menerima kemudahan cuti.
"Pengiktirafan Aidilfitri dan Aidiladha sebagai cuti umum wilayah adalah penetapan kalendar sivil yang memperakui kepentingan kebudayaan perayaan berkenaan kepada komuniti di California," menurut undang-undang itu. - Bernama/Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
