'Pegang sahaja jawatan itu sampai gugur semua Kabinet' - Fadhli Shaari

SHAH ALAM - Pas mempersoalkan keputusan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang menetapkan peletakan jawatannya berkuat kuasa apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mula menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, peletakan jawatan membabitkan urusan rasmi kerajaan dan sewajarnya mempunyai tarikh kuat kuasa yang jelas.
"Surat peletakan jawatan ini satu perkara yang serius yang melibatkan urusan rasmi kerajaan.
"Jika benar ia sudah dihantar, bagaimana anda menulis surat dengan tarikh kuat kuasa yang tiada kaitan secara langsung?
"Atau anda sudah tahu bila Najib akan balik ke rumah?" katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Terdahulu, Anthony mengesahkan telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.
Namun peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa sebaik sahaja Najib keluar dari penjara untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Ahmad Fadhli turut mempersoalkan tindakan Setiausaha Agung DAP itu yang menetapkan tarikh kuat kuasa berdasarkan perkembangan membabitkan Najib.
"Harap tiada yang menulis surat letak jawatan dengan tarikh kuat kuasa apabila bulan mengambang atau apabila Perdana Menteri bertukar.
"Begini sahajalah, daripada anda berdrama, cukup-cukuplah. Pegang sahaja jawatan itu sampai gugur semua Kabinet, kan mudah," katanya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden menyifatkan keputusan Anthony itu sebagai suatu jenaka.
"Hebat juga Najib, situasi beliau boleh menentukan bila nak letak jawatan.
"Beliau dilaporkan nak tunggu Najib balik rumah, baru kuat kuasa letak jawatan. Ini memang lawak," katanya.
Menurut Afnan Hamimi, jika keputusan meletakkan jawatan dibuat atas prinsip, tindakan berkenaan tidak sepatutnya bergantung kepada lokasi Najib menjalani hukuman.
"Orang yang ada prinsip, kalau janji nak letak jawatan, letak sahajalah.
"Prinsip tak perlu ikut tempat atau lokasi. Prinsip tidak perlu tunggu sama ada duduk dalam penjara atau balik rumah," katanya.
Beliau berkata, keputusan berhubung tahanan rumah Najib sudah dibuat, namun pelaksanaannya tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
"Keputusan dah ada, cuma keputusan itu belum kuat kuasa lagi, mungkin sebab belum jelaskan bayaran denda RM50 juta.
"Kalau beliau ada prinsip, sepatutnya terus letak jawatan lepas keluar keputusan, bukan tunggu Najib balik rumah," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
