'Kerajaan terpaksa jawab isu sama berulang kali' - Amirudin

Amirudin (duduk tengah) bergambar bersama pengamal media selepas Majlis Apresiasi Media Bersama Menteri Besar, Ahli Parlimen dan ADUN Selangor pada Selasa. - Foto: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Amirudin (duduk tengah) bergambar bersama pengamal media selepas Majlis Apresiasi Media Bersama Menteri Besar, Ahli Parlimen dan ADUN Selangor pada Selasa. - Foto: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan terpaksa berulang kali memberikan penjelasan terhadap sesuatu isu susulan penyebaran maklumat yang sama secara berterusan di media sosial sehingga menimbulkan persepsi kurang tepat dalam kalangan masyarakat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keadaan itu menjadi cabaran besar kepada kerajaan apabila penjelasan yang telah diberikan beberapa kali masih perlu diulang bagi memperbetulkan maklumat yang terus tersebar.

Menurut beliau, perkembangan media sosial yang beroperasi sepanjang masa menyebabkan sesuatu isu mudah dihidupkan semula walaupun kerajaan telah memberikan penjelasan dan mengambil tindakan sewajarnya.

"Kadang-kadang kita sudah jelaskan tiga, empat atau lima kali, tetapi kita terpaksa menjelaskan semula kerana di media sosial ada pihak yang terus mengulang perkara yang sama.

"Walaupun media sosial bergerak pantas, ada pihak yang sentiasa memperlahankan usaha itu dengan mengulang-ulang isu yang sama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media bersama Menteri Besar, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Amirudin mengambil contoh isu ladang babi di Selangor yang menurutnya telah dijelaskan oleh kerajaan negeri menerusi keputusan untuk tidak meneruskan rancangan berkenaan.

Sebaliknya, katanya, kerajaan negeri sedang berusaha membantu penternak yang terlibat beralih secara berperingkat ke sektor ekonomi lain bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan.

Bagaimanapun, beliau berkata, isu tersebut masih terus dibangkitkan dan diulang di media sosial sehingga menyebabkan kerajaan perlu memberikan penjelasan berkali-kali.

"Situasi ini bukan sahaja memberi tekanan kepada kerajaan, malah menjadi cabaran kepada institusi media untuk memastikan masyarakat menerima maklumat yang tepat dan tidak terpengaruh dengan kandungan tular yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!