143 kontena e-waste 'dihalau' keluar - AKPS

KLANG - Sebanyak 143 kontena muatan sisa elektronik (e-waste) dengan berat lebih 3 juta kilogram (kg) berjaya dibawa keluar dari Malaysia menerusi tindakan Joint Task Force Buangan Terjadual Pelabuhan Klang.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sehingga kini, sebanyak 685 kontena telah selesai diperiksa.
"Hasil pelaksanaan Fasa 1, Joint Task Force Buangan Terjadual Pelabuhan Klang telah berjaya membawa keluar sebanyak 143 kontena e-waste dengan anggaran berat keseluruhan 3,057,235 kg dari Malaysia.
"Tindakan ini merupakan sebahagian daripada strategi operasi yang dilaksanakan bagi memastikan kontena yang dikenal pasti mengandungi e-waste diuruskan mengikut peruntukan undang-undang, sekali gus membolehkan proses pemeriksaan, siasatan dan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara lebih sistematik, teratur dan berkesan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, selaras dengan perancangan operasi yang telah ditetapkan, Fasa 2 akan bermula pada Rabu ini melibatkan pengeluaran 531 kontena secara berperingkat.
Katanya, pelaksanaan fasa ini akan dilaksanakan dengan kerjasama erat semua agensi berkaitan bagi memastikan aspek keselamatan, pematuhan undang-undang serta perlindungan alam sekitar sentiasa menjadi keutamaan.
Beliau yang juga Pengerusi Joint Task Force Buangan Terjadual Pelabuhan Klang juga mencadangkan tindakan menyenaraihitamkan 50 syarikat dikenal pasti oleh Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait dengan membawa masuk e-waste.
"Dua syarikat perkapalan turut dicadangkan pergantungan lesen kerana gagal mematuhi arahan mengeluarkan kontena e-waste mengikut tarikh yang ditetapkan," ujarnya.
Tegasnya, operasi ini mencerminkan komitmen Joint Task Force Buangan Terjadual Pelabuhan Klang dalam memperkukuh kawalan di pintu masuk negara serta membanteras aktiviti pengimportan e-waste yang menyalahi undang-undang.
"Usaha ini dilaksanakan melalui pendekatan penguatkuasaan yang strategik dan bersepadu bagi memastikan Malaysia tidak dijadikan destinasi kemasukan atau pelupusan e-waste secara haram," ujarnya.
Joint Task Force Buangan Terjadual Pelabuhan Klang, yang diketuai AKPS Pelabuhan Klang dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), SIRIM Berhad, PDRM dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
