GAKUM kemuka enam saranan bendung ketirisan, kerugian UiTM Holdings

Presiden Gabungan Kesatuan Kakitangan Am Universiti Awam Malaysia (GAKUM), Norsyahriman Md Arif
Presiden Gabungan Kesatuan Kakitangan Am Universiti Awam Malaysia (GAKUM), Norsyahriman Md Arif
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa melaksanakan enam saranan termasuk penilaian semula terhadap aset universiti bagi membendung ketirisan dan kerugian susulan isu kerugian UiTM Holdings Sdn Bhd yang dianggarkan mencecah RM157 juta.

Presiden Gabungan Kesatuan Kakitangan Am Universiti Awam Malaysia (GAKUM), Norsyahriman Md Arif berkata, langkah itu termasuk audit prestasi dan kewangan secara menyeluruh serta berkala, penilaian semula modal dan model perniagaan serta aset universiti di bawah pengurusan syarikat pegangan.

Menurutnya, kerajaan juga perlu menyemak semula struktur tadbir urus dan pelantikan ahli lembaga pengarah, menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas dan telus serta memastikan prestasi dilaporkan secara berkala kepada pihak berkepentingan dan pemegang taruh universiti.

“Kegagalan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan tidak wajar dibiarkan berlarutan, sebaliknya hendaklah disusuli dengan tindakan pembetulan yang segera, tegas dan berakauntabiliti.

“Syarikat pegangan universiti awam seharusnya tidak hanya dilihat sekadar sebagai entiti korporat yang wujud secara pentadbiran, sebaliknya mesti berfungsi sebagai instrumen strategik yang memberikan nilai tambah yang jelas kepada universiti,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan penelitian terhadap tadbir urus dan pengurusan UiTM Holdings Sdn Bhd susulan kebimbangan mengenai kerugian yang dialami syarikat berkenaan.

Anwar dilaporkan berkata, semakan itu perlu dilakukan dengan kerjasama Naib Canselor UiTM dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan memberikan sokongan sekiranya diperlukan.

Menurut Norsyahriman, GAKUM sebelum ini telah membangkitkan isu berhubung prestasi sebahagian besar syarikat pegangan universiti awam ketika kunjungan hormat kepada Menteri Pendidikan Tinggi pada 7 September lalu.

Beliau berkata, pihaknya mendesak supaya reformasi menyeluruh dilaksanakan terhadap syarikat pegangan universiti awam yang tidak kompeten dalam mencapai matlamat asal penubuhannya, khususnya dalam usaha memperkukuh kemampanan kewangan universiti.

Artikel Berkaitan:

Norsyariman berkata, pihak turut mereka menyambut baik saranan Perdana Menteri supaya isu berkaitan UiTM Holdings disiasat segera dan tindakan selanjutnya diambil sekiranya terbukti berlaku penyelewengan.

Katanya, gabungan itu yakin isu berkenaan sudah mendapat perhatian Menteri Pendidikan Tinggi berdasarkan kenyataan media Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada 27 September lalu berhubung langkah strategik untuk memastikan syarikat pegangan universiti awam berfungsi dengan lebih efisien.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!