Imej satelit dedah skala kemusnahan Gaza

Kawasan perumahan lenyap, blok kediaman bertukar timbunan runtuhan selepas hampir tiga tahun perang

Imej terbaharu mendedahkan kemusnahan Gaza. FOTO: AGENSI
Imej terbaharu mendedahkan kemusnahan Gaza. FOTO: AGENSI
A
A
A

GAZA – Imej satelit terbaharu yang dikemas kini menerusi Google Maps mendedahkan skala kemusnahan besar-besaran di seluruh Gaza dengan kawasan perumahan yang dahulunya padat kini berubah menjadi timbunan runtuhan.

Menurut Anadolu Agency (AA), imej udara yang dikemas kini pada Isnin menunjukkan perubahan ketara landskap bandar Gaza apabila kemusnahan bukan sahaja melibatkan bangunan individu, malah keseluruhan blok kediaman.

Perbandingan imej semasa dengan keadaan sebelum perang menunjukkan kawasan luas yang dahulunya dipenuhi kediaman kini hampir kosong selepas bangunan musnah atau mengalami kerosakan.

Kesan kemusnahan itu terus mengancam keselamatan penduduk Palestin meskipun gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025.

Puluhan bangunan yang rosak akibat serangan sebelum ini runtuh menimpa penduduk selepas gencatan senjata, manakala ribuan struktur lain yang retak atau rosak teruk masih berisiko roboh terutama ketika hujan dan angin kencang.

Penduduk pada masa sama berdepan kekurangan tempat perlindungan ketika kemasukan unit kediaman sementara atau karavan masih berdepan sekatan.

Penilaian Pusat Satelit Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOSAT) setakat 16 Jun 2026 mendapati kira-kira 201,290 bangunan atau 82 peratus struktur di Gaza mengalami kerosakan.

Daripada jumlah itu, 134,422 bangunan dilaporkan musnah, 13,848 rosak teruk, 28,096 mengalami kerosakan sederhana dan 24,924 lagi berkemungkinan rosak.

Kira-kira 328,627 unit kediaman turut dilaporkan terjejas. - Agensi

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!