Buat 'live' semasa pemeriksaan projek jalan, menteri kerajaan tampar lelaki

Insiden tersebut tular di media sosial. Foto: Agensi
Insiden tersebut tular di media sosial. Foto: Agensi
A
A
A

NEW DELHI – Menteri Kerja Raya kerajaan Wilayah Ibu Negara Delhi, Parvesh Verma mencetuskan kontroversi selepas rakaman video menunjukkan beliau menampar seorang lelaki yang sedang merakam pemeriksaan projek jalan di Tilak Nagar, barat Delhi pada Ahad.

Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan Verma menepis telefon bimbit lelaki berkenaan sebelum menamparnya, menyebabkan seorang pengawal keselamatan segera masuk campur.

Lelaki berusia 22 tahun itu dikenal pasti sebagai Sahib Singh yang mendakwa ketika kejadian beliau sedang membuat siaran langsung pemeriksaan tersebut.

Insiden berlaku ketika Verma memeriksa kerja pembaikan jalan yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Delhi daripada Parti Aam Aadmi (AAP), Jarnail Singh.

Jarnail ketika itu mempersoalkan kualiti kerja berkenaan dan mendakwa sebahagian permukaan jalan yang baru diturap boleh ditanggalkan menggunakan tangan.

Sahib menafikan dakwaan bahawa beliau mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Verma dan kemudian membuat aduan kepada polis berhubung kejadian itu.

Verma pula mendakwa tindakannya berlaku selepas Sahib mengeluarkan kata-kata kesat terhadap keluarganya.

Beliau bagaimanapun mengakui kejadian tersebut tidak sepatutnya berlaku sambil mendakwa rakaman yang tersebar tidak menunjukkan keseluruhan konteks insiden.

Susulan aduan Sahib, Polis Delhi memfailkan laporan terhadap Verma atas kesalahan berkaitan menyebabkan kecederaan.

Artikel Berkaitan:

Polis memerlukan kebenaran mahkamah untuk memulakan siasatan bagi laporan berkenaan. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!