Jurujual kereta terpakai parah ditetak

Polis sedang giat mengesan suspek bagi membantu siasatan.
Polis sedang giat mengesan suspek bagi membantu siasatan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang jurujual syarikat kenderaan terpakai parah ditetak seorang individu dipercayai cuba mencuri bateri kenderaan dalam kejadian di sebuah syarikat penjualan kereta terpakai di Jalan Kuda Emas, di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa lelaki warga asing berusia 54 tahun ditetak menggunakan parang oleh individu tidak dikenali ketika sedang bekerja di premis berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintenden Lim Chun How berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.52 pagi, hari sama.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selain beberapa bahagian badan lain.

"Mangsa kini berada dalam keadaan separa kritikal dan sedang menerima rawatan di Zon Merah Hospital Tunku Azizah (HTCM).

"Motif kejadian dipercayai melibatkan suspek yang cuba mencuri bateri kenderaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

"Polis sedang giat mengesan suspek bagi membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di talian 03-9205 0222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!