AirAsia lancar tabung derma digital, 'Derma Dengan Ikhlas'

AIRASIA.com melancarkan inisiatif tabung derma digital awam, 'Derma Dengan Ikhlas' bagi memudahkan individu atau organisasi yang ingin menjalankan tanggungjawab amal mereka pada bulan Ramadan.
Tabung 'Derma Dengan Ikhlas' yang dijalankan dengan kerjasama Yayasan Amanah Assofwah Almalikiyyah itu dilancarkan menerusi sebuah platform yang tulus, selamat dan terjamin di mana dana tersebut akan digunakan untuk membantu komuniti memerlukan serta pasukan barisan hadapan, selain membantu peniaga tempatan pada Ramadan kali ini.
Ketua Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, walaupun sambutan Ramadan pada tahun ini berbeza berbanding sebelum ini, ia tidak menghalang pihaknya untuk meneruskan amalan bersedekah.
Beliau berkata, disebabkan itu pihaknya berbesar hati untuk melancarkan sebuah inisiatif yang memberi peluang kepada semua orang untuk bekerjasama dan bersama membantu mereka yang memerlukan pada bulan mulia ini.