2,305 pesakit Selangor terima manfaat rawatan jantung

SHAH ALAM - Seramai 2,305 pesakit di negeri ini menerima manfaat Skim Rawatan Jantung Selangor (SRJS) sejak diperkenalkan pada 2018 termasuk 182 pesakit sepanjang tahun ini sehingga 31 Ogos lalu.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, kerajaan negeri meneruskan pembiayaan SRJS tahun ini dengan peruntukan RM5 juta bagi memastikan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana mendapat akses kepada rawatan jantung berkualiti.
Menurut beliau, melalui skim itu, bantuan kewangan sehingga RM50,000 disediakan bagi menampung kos rawatan intervensi kardiologi dan pembedahan jantung di hospital panel terpilih.
"Antara hospital panel terbabit ialah Institut Jantung Negara (IJN), Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), Hospital Sunway dan Hospital UiTM Puncak Alam.
"SRJS memberi peluang kepada pesakit mendapatkan rawatan pada peringkat awal, sekali gus mengurangkan risiko komplikasi serius, kecacatan kekal serta kematian akibat penyakit jantung," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.
Jamaliah memberitahu, SRJS menyasarkan isi rumah dengan pendapatan bulanan RM8,000 dan ke bawah bagi memastikan akses kepada rawatan kesihatan berkualiti dapat dinikmati secara adil tanpa mengira latar belakang ekonomi.
"Skim ini bukan sahaja membantu meringankan tekanan kewangan pesakit dan keluarga, malah memastikan mereka tidak menangguhkan rawatan kerana kekangan kos," jelas beliau.
Menurutnya, SRJS turut memberi penekanan kepada aspek pencegahan menerusi penganjuran program saringan kesihatan percuma dari semasa ke semasa.
Katanya, saringan itu penting bagi mengesan risiko penyakit jantung lebih awal supaya intervensi dapat dilakukan sebelum keadaan menjadi lebih serius.
"Sempena Hari Jantung Sedunia, kerajaan negeri mengingatkan rakyat supaya tidak mengabaikan kesihatan jantung dan mengambil peluang mendapatkan saringan serta rawatan awal sekiranya mempunyai faktor risiko atau mengalami gejala berkaitan.
"Usaha ini penting bukan sahaja untuk meringankan beban kewangan rakyat, tetapi juga membantu menyelamatkan nyawa dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat," tambah beliau.
Orang ramai yang layak boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai SRJS melalui laman sesawang Iltizam Selangor Sihat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

