Pengerusi PKR Perak angkat sumpah sebagai Senator

Mohamad Hairul Amir mengangkat sumpah jawatan sebagai Senator baharu mewakili Perak bagi tempoh tiga tahun. - FOTO: Bernama
Mohamad Hairul Amir mengangkat sumpah jawatan sebagai Senator baharu mewakili Perak bagi tempoh tiga tahun. - FOTO: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi PKR Perak Mohamad Hairul Amir Sabri mengangkat sumpah jawatan sebagai Senator baharu, mewakili negeri itu bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 10 September lepas hingga 9 September 2029.

Mohamad Hairul Amir, 38, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, dalam upacara yang berlangsung di Dewan Negara, Bangunan Parlimen di sini pada Selasa. 

Beliau yang juga Ketua Pegawai Khas di Pejabat Ahli Parlimen Tambun, dilantik menggantikan Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang tamat tempoh pelantikan sebagai Senator pada 24 Mei.

Pada 10 September, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bersetuju memilih Mohamad Hairul Amir selepas dicadangkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, mengikut Perkara 45(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, susulan kekosongan satu kerusi Dewan Negara bagi anggota yang dipilih oleh DUN Perak.

Sementara itu, Awang Bemee dalam ucapan pemasyhuran pelantikan itu berkata, pengalaman Mohamad Hairul Amir dalam kepimpinan politik, pentadbiran awam, hubungan kerajaan, pembangunan masyarakat dan tadbir urus korporat, akan memberi nilai tambah kepada perbahasan serta perjalanan Dewan Negara.

"Penglibatan Yang Berhormat dalam badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), serta sebagai Ahli Jawatankuasa Audit Bebas dan Ahli Lembaga Pengarah badan eksekutif syarikat swasta, turut memperluas pengalaman dalam bidang tadbir urus, pengurusan, akauntabiliti dan integriti,” katanya.

Sehubungan itu, Awang Bemee berkata, Dewan Negara berharap pengalaman yang dimiliki Mohamad Hairul Amir dapat menyumbang secara konstruktif dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Senator yang datang daripada pelbagai latar belakang dan pendirian politik.

"Walaupun kita boleh berbeza pandangan, perbezaan itu hendaklah disampaikan dengan penuh hikmah, berhemah dan saling menghormati,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Dewan Negara akan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh institusi Parlimen Malaysia, termasuk melalui pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang antaranya bertujuan memperteguh prinsip pengasingan kuasa serta keberkesanan fungsi semak dan imbang Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memperkukuh autonomi dan kedudukan Parlimen, supaya peranannya sebagai institusi dalam sistem demokrasi negara dapat dilaksanakan dengan berkesan, bebas dan berwibawa.

"Kita mahu Dewan Negara menjadi institusi yang membawa suara rakyat dan negeri, meneliti dasar serta perundangan negara dan pada masa sama memperkukuh prinsip semak dan imbang dalam sistem demokrasi berparlimen,” katanya.

Menurut takwim Parlimen, persidangan Dewan Negara bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15 akan berlangsung dari 30 November hingga 22 Disember ini. - Bernama 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!