Akta Perkhidmatan Parlimen dan pindaan Perlembagaan berkuat kuasa hari ini

PUTRAJAYA - Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (Akta 869) dan pindaan berkaitan kepada Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa mulai hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penguatkuasaan akta itu, merupakan antara pencapaian signifikan agenda reformasi institusi Kerajaan Madani dan satu detik bersejarah bagi Parlimen Malaysia, setelah Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 (Akta 394) dimansuhkan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1992 (Akta A837) berkuat kuasa pada 20 Nov 1992.
"Setelah lebih tiga dekad, Akta 869 mengembalikan semula autonomi Parlimen melalui pewujudan suatu perkhidmatan khusus, yang membolehkan Parlimen menguruskan pentadbiran, sumber manusia dan hal ehwalnya dengan lebih bebas dan berkesan.
"Ia sekali gus memperkukuh kedudukan Parlimen sebagai badan perundangan tertinggi dalam sistem demokrasi berparlimen negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Madani turut merafak sembah menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan Baginda menetapkan 1 Okt 2026, sebagai tarikh kuat kuasa Akta 869 [Akta 869] serta pindaan berkaitan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Reformasi itu turut mencerminkan komitmen Kerajaan Madani yang mendukung prinsip doktrin pengasingan kuasa dan sistem semak dan imbang antara cabang perundangan, eksekutif dan kehakiman.
"Dengan autonomi institusi yang lebih kukuh, Parlimen dapat melaksanakan fungsi perlembagaan serta tanggungjawabnya kepada rakyat dengan lebih bebas, berkesan dan berwibawa," kata Azalina.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Majlis Parlimen, barisan Jemaah Menteri dan semua pihak berkepentingan termasuk badan bukan kerajaan serta organisasi masyarakat sivil, atas kerjasama dalam merealisasikan reformasi penting itu.
"Kerajaan Madani akan terus melaksanakan agenda reformasi institusi secara tersusun dan berterusan, bagi memperkukuh institusi demokrasi negara serta memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi negara terus terpelihara,” katanya.
Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 telah dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 24 Feb 2025, diikuti bacaan kedua pada 4 Mac 2025.
Ia diluluskan di Dewan Rakyat pada 5 Mac dan di Dewan Negara pada 20 Mac 2025 serta mendapat perkenan Sultan Ibrahim pada 9 Julai, seterusnya diwartakan pada 18 Julai 2025. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
