Anwar, Dr Wan Azizah beri penghormatan terakhir kepada Tun Dr Hasmah

SERI KEMBANGAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali di Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah di sini.
Anwar dan Dr Wan Azizah tiba di pekarangan masjid pada 4 petang dan kemudian menyantuni suami Allahyarham, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta ahli keluarga bagi menyampaikan ucapan takziah.
Perdana Menteri turut dilihat bersalaman dan berbual ringkas dengan Dr Mahathir.

Terdahulu, orang ramai, barisan kenamaan serta perwakilan asing hadir ke masjid berkenaan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Dr Hasmah.
Anwar bersama ahli keluarga Allahyarham serta hadirin kemudian menunaikan solat Asar.
Jenazah Allahyarham dijadual dibawa ke Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya petang ini bagi istiadat pengebumian.
Dr Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi Isnin pada usia 100 tahun. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
