Cincin emas untuk bayi baru lahir di Tamil Nadu

MADURAI - Pihak berkuasa di negeri Tamil Nadu, India memberikan cincin emas percuma kepada bayi yang dilahirkan di hospital kerajaan pada Isnin, sebagai usaha meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap sistem penjagaan kesihatan awam.
Menerusi skim yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri Tamil Nadu, Vijay, kesemua bayi yang dilahirkan di kemudahan kesihatan awam di negeri itu layak menerima sebentuk cincin emas seberat satu gram bernilai kira-kira AS$143 (RM584).
Inisiatif itu bertujuan menonjolkan kepentingan penjagaan ibu dan bayi yang baru lahir selain meningkatkan keyakinan terhadap institusi kesihatan awam di negeri berpopulasi lebih 72 juta penduduk itu.
Skim pemberian cincin emas itu dikenali sebagai program 'Thaimaman' yang mengambil inspirasi daripada kedudukan istimewa bapa saudara sebelah ibu dalam budaya masyarakat tempatan.
Bagaimanapun, skim tersebut menerima kritikan daripada Parti Bharatiya Janata (BJP) yang merupakan pembangkang di Tamil Nadu.
“Cincin emas untuk bayi yang baru lahir mungkin satu bentuk pemberian yang dialu-alukan. Tetapi, keperluan paling mendesak bagi keluarga ialah memastikan makanan berkhasiat dapat diperoleh setiap hari,” kata anggota parti itu, Tamilisai Soundararajan menerusi catatan di media sosial.
Hospital kerajaan yang sesak sering berdepan kekurangan kakitangan, tempoh menunggu yang panjang dan kemudahan tidak mencukupi hingga menyebabkan ramai pesakit memilih mendapatkan rawatan di sektor swasta yang lebih mahal.
Meskipun kemajuan ketara dicapai sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kadar kematian bayi dan ibu ketika melahirkan anak di India masih tinggi.
Menurut data rasmi terkini, India merekodkan 24 kematian bayi bagi setiap 1,000 kelahiran hidup manakala kadar kematian ibu ialah 88 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

