Polis kesan pemandu Myvi merah lawan arus di Lebuhraya Senai-Desaru

KULAI – Polis sedang mengesan pemandu sebuah Perodua Myvi berwarna merah yang dikesan memandu melawan arus di Kilometer 3.4 Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 petang itu tular di media sosial menerusi rakaman video yang dikongsi pengguna jalan raya.
Menurut beliau, susulan penyebaran video berkenaan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kulai telah membuka siasatan bagi mengenal pasti pemandu kenderaan terbabit.
“Susulan penyebaran video tersebut, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kulai sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pemandu kenderaan berkenaan.
“Usaha mengesan pemandu yang masih belum dikenal pasti itu sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Ruslan Mohamed di talian 013-3063710,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

