Tunku Azizah, Tengku Hasanal tiba di Pusara Negara

PUTRAJAYA - Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah antara individu kenamaan hadir memberikan penghormatan terakhir buat Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali di Pusara Negara, di sini pada Isnin.
Baginda tiba sekitar jam 4.45 petang dengan diiringi kenderaan polis.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib serta Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.
Selain itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid bersama pegawai kanan juga hadir.
Juga kelihatan mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador serta Tan Sri Abu Kassim Mohamed iaitu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tinjauan Sinar Harian mendapati kawasan Pusara Negara mula dipenuhi orang ramai seawal jam 3.30 petang.
Kawasan sekitar tanah perkuburan juga dikawal anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kelancaran lalu lintas.

Dr Hasmah berusia 100 tahun menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi, Isnin.
Dr Hasmah adalah antara wanita Melayu terawal yang bergelar doktor perubatan sebelum mencurahkan khidmat dalam bidang kesihatan awam negara selain turut meninggalkan jasa besar menerusi pelbagai usaha memperkasakan kesihatan ibu, kanak-kanak dan kesejahteraan masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
