Tun Dr Hasmah banyak bercerita soal tuhan, alam baqa bersama isteri – Ahmad Zahid

SHAH ALAM - Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohamad Ali banyak bercerita mengenai tuhan, alam baqa dan padang mahsyar ketika pertemuan terakhir bersama isteri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di kediamannya pada minggu lalu.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Ahmad Zahid ketika hadir bagi memberi penghormatan terakhir di kediaman Allahyarham.
Menurut Ahmad Zahid, pertemuan itu menyentuh pelbagai kisah lama apabila isterinya yang merupakan anggota Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) berkesempatan berbual panjang serta bernostalgia bersama Allahyarham.
"Secara kebetulan, isteri saya baru mengunjungi Allahyarham Tun Hasmah pada minggu lepas. Mereka berbincang panjang dan sebagai anggota Bakti, mereka bernostalgia.
"Yang diceritakan oleh isteri saya, beliau banyak bercerita tentang tuhan seolah-olah beliau mengetahui akan pergi buat selama-lamanya," ujarnya pada Isnin.
Sebelum ini, Tun Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, kata anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Difahamkan, Dr Hasmah yang berusia 100 tahun, meninggal dunia pada jam 9.20 pagi.
Tambah Ahmad Zahid, mereka sekeluarga turut merasai kehilangan Allahyarham Tun Dr Hasmah.
"Kami turut berdoa agar keluarga beliau diberikan kekuatan serta Allahyarham ditempatkan di sisi hamba-hamba yang beriman, insya-ALLAH," katanya.
Mengulas mengenai kehilangan Allahyarham kepada negara, Ahmad Zahid berpendapat ia sebagai satu kehilangan yang amat besar
"Ini sangat besar kerana Allahyarham menjadi wanita pertama selama 22 tahun. Tentunya kami merasakan kehilangan yang teramat sangat kerana Allahyarham telah banyak menabur jasa, terutamanya dalam kalangan wanita dan ahli-ahli Bakti," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
