Perselisihan faham punca wanita dipukul dalam tren LRT

Setakat ini polis telah merakam keterangan empat individu termasuk wanita berkenaan bagi membantu siasatan. Gambar hiasan
Setakat ini polis telah merakam keterangan empat individu termasuk wanita berkenaan bagi membantu siasatan. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perselisihan faham dipercayai menjadi punca seorang wanita dipukul seorang lelaki yang tidak dikenalinya ketika berada di dalam tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya di Wangsa Maju di sini pada 22 September lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, setakat ini polis telah merakam keterangan empat individu termasuk wanita berkenaan bagi membantu siasatan.

"Kita telah merakam keterangan empat saksi termasuk wanita berkenaan, manakala lelaki berkenaan telah dikenal pasti dan akan tampil memberikan keterangan esok," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Jumaat, media melaporkan polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Mangsa, 45, berdepan detik cemas apabila mendakwa tiba-tiba diserang suspek tidak dikenali.

Annas dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa jam 6.35 petang, hari sama.

Satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama saksi kejadian atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung insiden berkenaan supaya segera tampil bagi membantu siasatan.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat secara terus kepada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Sharifah Khadijah Syed Rohani di talian 03-9289 9258 atau 03-9289 9222.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau ke mana-mana balai polis berhampiran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!