[VIDEO] Ismanira kekal bersalah abai Zayn Rayyan

A
A
A

SHAH ALAM – Harapan ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin untuk dibebaskan tidak kesampaian apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadapnya kerana mengabaikan kanak-kanak autisme itu, tiga tahun lalu.

Hakim, Noor Hisham Ismail memutuskan demikian selepas menolak rayuan Ismanira Abdul Manaf, 31, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara yang diputuskan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya tahun lalu.

Mendengar keputusan itu, Ismanira yang menjalani hukuman di Penjara Wanita Kajang selama sebelas bulan, kelihatan tenang ketika berdiri di kandang tertuduh.

Ismanira memakai baju kurung dan mengenakan tudung berwarna hitam, dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin.
Ismanira memakai baju kurung dan mengenakan tudung berwarna hitam, dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin.

Suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 31, yang berada di galeri awam, menundukkan kepala bersama ibu bapa dan saudara-mara lain.

Semasa membaca keputusan, Hakim berkata, setelah meneliti rekod rayuan termasuk alasan penghakiman, hujahan bertulis dan lisan kedua-dua pihak, mahkamah berpuas hati bahawa Hakim Mahkamah Sesyen tidak melakukan sebarang kekhilafan fakta atau undang-undang dalam keputusannya.

Katanya, pertuduhan berkenaan menyatakan dengan jelas setiap elemen bagi kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Cara pengabaian yang dilakukan juga telah dibutirkan, yang mana tertuduh selaku perayu tidak mungkin akan terkeliru, maka tiada kegagalan keadilan di situ.

Artikel Berkaitan:

“Perkataan ‘mengabaikan’ bermaksud peninggalan oleh orang yang mempunyai pemeliharaan untuk memberikan perhatian, pengawasan atau penjagaan yang dikehendaki oleh keadaan kanak-kanak itu.

“Tahap penjagaan diukur berdasarkan umur, keupayaan dan keperluan kanak-kanak serta persekitarannya. Ia berbeza daripada cabang ‘bertindak secara cuai’ yang merujuk kepada perbuatan positif,” katanya.

Beliau berkata, pendakwaan tidak perlu membuktikan kecederaan sebenar atau sebab-akibat langsung.

Katanya, perkataan ‘mungkin’ dalam pertuduhan itu menghendaki risiko yang sebenar, dinilai secara objektif, bukan sekadar kemungkinan teori.

Menurutnya, jika pun mahkamah rendah terkhilaf apabila menjadikan sebab-akibat sebagai suatu elemen, mahkamah ini berpandangan pendekatan tersebut tidak menjejaskan sabitan.

Hakim berkata, perbezaan antara Seksyen 31 dan 33 akta itu terletak pada elemen risiko kecederaan.

“Pemilihan pertuduhan terletak dalam budi bicara Pendakwa Raya di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, tidak salah apabila Hakim Mahkamah Sesyen membuat dapatan bahawa pihak pembelaan tidak menimbulkan keraguan munasabah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pendakwaan turut membuat rayuan terhadap hukuman yang dikenakan terhadap ibu kepada dua anak terbabit.

Beliau berkata, mahkamah hanya campur tangan jika hukuman itu berlebihan atau wujud kekhilafan prinsip.

“Bagaimanapun, tertuduh dihukum atas pengabaiannya sendiri, bukan atas perbuatan jenayah pihak ketiga.

“Hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen bukanlah sesuatu yang tidak memadai atau berlebihan.

“Justeru, kedua-dua rayuan pihak pendakwaan dan tertuduh ditolak,” katanya.

Dalam prosiding ini, Ismanira diwakili peguam, Tiara Katirina Fuad, Haresh Mahadevan dan Lavanesh Mahadevan.

Pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Kamarul Iman Ahmad Sapian dan Ahmad Iqbal Azman.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, di sini jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Susulan itu, pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan, 31, dan Ismanira didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas satu pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Bagaimanapun, di akhir kes pendakwaan pada 21 Julai 2025, Hakim, Dr Syahliza Warnoh melepaskan dan membebaskan Zaim Ikhwan daripada tuduhan berkenaan tanpa perlu membela diri.

Sementara pada 31 Oktober tahun sama, mahkamah memerintahkan Ismanira ke Penjara Wanita Kajang serta-merta bagi menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah mengabai kanak-kanak malang itu.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokkannya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!