Wanita maut, Axia bertembung lori muatan sabut kelapa

GUA MUSANG - Seorang wanita maut selepas kereta Perodua Axia dipandunya dipercayai bertembung dengan sebuah lori 10 tan yang membawa muatan sabut kelapa di Kilometer 40, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, mangsa berusia 34 tahun dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa bersama seorang penumpang wanita berusia 47 tahun dalam perjalanan dari arah Gua Musang menghala ke Chiku 5.
"Setibanya di lokasi kejadian, Perodua Axia dipandu mangsa bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat pelanggaran itu, kereta dipandu mangsa berpusing sebelum terbabas ke bahu kiri jalan," katanya pada Isnin.
Menurut beliau, mayat mangsa kemudian dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
Ujarnya, manakala penumpang hadapan kereta berkenaan pula dibawa ke Klinik Kesihatan Chiku 3 untuk menerima rawatan awal.
"Pemandu lori berusia 48 tahun yang terbabit dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Choon Foo memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Siasatan lanjut masih dijalankan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Gua Musang di talian 09-912 1222," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

