Banjir di Bangkok dijangka surut dalam tempoh 2 ke 3 hari

BANGKOK - Air banjir yang bertakung di Bangkok dijangka surut dalam tempoh dua hingga tiga hari sekiranya tiada hujan lebat berterusan, kata Jurucakap Pejabat Perdana Menteri Dr Ekkapob Pianpises.
Beliau berkata, stesen pam dan terowong saliran Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) beroperasi sepanjang masa bagi mempercepatkan pengaliran air banjir.
"Pam air beroperasi 24 jam sehari untuk menolak air ke dalam Sungai Chao Phraya pada kadar purata 50 juta meter padu sehari.
Sekiranya tiada hujan lebat berterusan, air banjir bertakung di Bangkok dijangka surut dalam tempoh dua hingga tiga hari," katanya ketika mengumumkan hasil Mesyuarat Khas Kabinet mengenai respons dan langkah bantuan banjir pada Ahad.
Sementara itu, Ekkapob berkata, kerajaan Thailand turut menubuhkan Pusat Maklumat dan Komunikasi Bersama (JICC) untuk menyelaras maklumat rasmi berhubung situasi banjir serta memastikan kemas kini awam yang konsisten.
Beliau berkata, pusat itu, yang ditubuhkan susulan Mesyuarat Khas Kabinet pada Ahad, akan menyediakan taklimat harian dan kemas kini masa nyata di laman Facebook Thai Khu Fah merangkumi keadaan cuaca, paras air, kawasan terjejas, laluan trafik dan bantuan kerajaan.
Ekkapob berkata, Perdana Menteri Anutin Charnvirakul telah mengarahkan agensi berkaitan untuk menyelaraskan operasi, dengan Pejabat Sumber Air Negara (ONWR) dan Jabatan Pengairan Diraja (RID) memantau keadaan air serta saliran, manakala Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) dan BMA mengendalikan amaran awam serta sokongan pemindahan.
Jabatan Meteorologi Thailand (TMD) pula akan menyediakan kemas kini cuaca secara ringkas, manakala Jabatan Hubungan Awam dan penyiar milik kerajaan MCOT akan menyelaras komunikasi awam bersama Pejabat Perdana Menteri.
"Kerajaan juga telah mengarahkan Kementerian Pertahanan untuk mengatur kedudukan trak tentera bagi urusan pemindahan penduduk dan pemindahan barangan, manakala agensi berkaitan diarahkan memastikan pam air serta jentera berada dalam keadaan bersedia, di samping membantu kumpulan rentan dan pesakit terlantar," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
