Banjir, tanah runtuh ragut sekurang-kurangnya 21 nyawa di India, Nepal

ISLAMABAD - Sekurang-kurangnya 21 orang terkorban manakala lebih daripada 12 lagi dilaporkan hilang selepas kejadian banjir dan tanah runtuh akibat hujan lebat melanda beberapa bahagian di India dan Nepal sejak dua hari lepas, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan pada Ahad.
Di negeri Uttar Pradesh, India, 15 orang terkorban manakala lima lagi cedera dalam tempoh 48 jam lepas, lapor akhbar harian tempatan Telegraph India.
Lebih 100 rumah turut rosak berikutan hujan lebat yang menjejaskan lebih 60 daerah di negeri paling padat dengan penduduk di negara itu.
Di negara jiran Nepal, sekurang-kurangnya enam orang terkorban selepas hujan lebat berterusan sejak dua hari lepas mencetuskan tanah runtuh, banjir serta gangguan meluas terhadap laluan jalan raya dan infrastruktur di seluruh negara Himalaya itu.
Di daerah barat Baglung satu kejadian tanah runtuh menimbus sebuah rumah, mengorbankan empat ahli keluarga yang sama, lapor akhbar harian tempatan Himalayan Times.
Sekurang-kurangnya 14 orang termasuk pendaki dan staf sokongan dilaporkan hilang selepas runtuhan salji melanda puncak Himlung Himal berketinggian 7,126 meter di Daerah Manang.
Ketua Pengarah Jabatan Pelancongan, Ram Krishna Lamichhane yang mengesahkan kejadian itu berkata pihak berkuasa sedang mengumpul maklumat lanjut mengenai insiden berkenaan serta usaha mengesan dan menyelamatkan mangsa yang hilang, menurut akhbar tempatan Kathmandu Post.
Cuaca buruk menghalang pasukan penyelamat daripada menghampiri kawasan pergunungan berkenaan.
Runtuhan salji itu berlaku di tengah-tengah hujan berterusan dan salji lebat di kawasan pegunungan barat.
Sementara itu di daerah berhampiran Parbat, Sungai Kaligandaki melimpah dan melanda petempatan berhampiran dan menghanyutkan kira-kira 80 rumah.
Bulan lepas, Nepal dilanda banjir kilat dahsyat yang mengorbankan lebih 1,350 orang dengan lebih 5,000 lagi masih dilaporkan hilang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
