10 hilang selepas dilanda runtuhan salji di Himlung Himal, barat Nepal

ISLAMABAD - Sekurang-kurangnya 10 orang termasuk pendaki dan staf sokongan dilaporkan hilang selepas runtuhan salji melanda puncak Himlung Himal berketinggian 7,126 meter di Daerah Manang, barat Nepal, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan pada Ahad.
Ketua Pengarah Jabatan Pelancongan, Ram Krishna Lamichhane yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihak berkuasa sedang mengumpul maklumat lanjut mengenai insiden berkenaan serta usaha mengesan dan menyelamatkan mangsa yang hilang, menurut akhbar tempatan Kathmandu Post.
Runtuhan salji itu berlaku di tengah-tengah hujan berterusan dan salji lebat di kawasan pergunungan barat.
Di lokasi berasingan di Nepal, sekurang-kurangnya seorang terkorban manakala dua lagi hilang selepas tanah runtuh melanda sebuah kawasan petempatan di Daerah Palpa pada Ahad.
Sementara itu di daerah berhampiran Parbat, Sungai Kaligandaki melimpah dan melanda petempatan berhampiran sehingga menghanyutkan kira-kira 80 rumah.
Bulan lepas, Nepal dilanda banjir kilat dahsyat yang mengorbankan lebih 1,350 orang dengan lebih 5,000 lagi masih dilaporkan hilang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
