Dakwaan rasmi majlis pecah tanah penempatan pelarian Myanmar tidak benar - Dr Zaliha

KUALA LUMPUR - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menafikan dakwaan kononnya beliau pernah menghadiri, merasmikan atau terlibat dalam mana-mana majlis pecah tanah bagi penempatan baharu pelarian Myanmar.
Beliau menegaskan dakwaan yang tersebar di media sosial itu tidak benar dan berniat jahat, selain mengaitkan sekeping gambarnya bersama seorang individu dengan perkara yang tidak pernah berlaku.
"Saya tidak mengenali individu berkenaan secara peribadi dan tidak mempunyai sebarang hubungan atau urusan, sama ada secara rasmi mahupun tidak rasmi, dengannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dr Zaliha menjelaskan berdasarkan semakan, gambar yang disebarkan itu dipercayai dirakam pada Forum Urbanisasi Mampan ASEAN (ASUF), Forum Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN (AGMF) serta Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN (MGMAC) 2025 di ibu negara pada 12 Ogos 2025.
Katanya, beliau dijemput untuk menyampaikan ucapan khas dan seterusnya menghadiri Majlis Perasmian Bersama bagi program berkenaan yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
"Program tersebut terbuka kepada orang awam untuk mendaftar sebagai peserta. Justeru, saya tentunya tidak mengetahui identiti setiap individu yang hadir.
"Sekeping gambar bersama-sama seseorang peserta tidak bermaksud saya mengenalinya, mempunyai hubungan dengannya, menjemputnya secara peribadi atau menyokong pandangan mahupun tindakannya,” katanya.
Ahli Parlimen Sekijang itu berkata, beliau akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung penyebaran hantaran berkenaan untuk penelitian dan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.
Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata, dakwaan bahawa beliau menyokong atau memudah cara penempatan baharu pelarian Myanmar juga bercanggah dengan rekod tindakan yang diambilnya ketika menerajui Jabatan Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata, antara langkah yang dilaksanakan ialah penubuhan KL Strike Force sebagai mekanisme penguatkuasaan bersepadu bagi menangani isu keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya di ibu negara, termasuk isu lambakan warga asing dan penempatan haram pelarian Myanmar.
"Malah, operasi pertama KL Strike Force adalah menggempur penempatan haram pelarian Myanmar di Bandar Baru Sentul. Melalui KL Strike Force, saya menegaskan supaya tindakan diambil terhadap penempatan dan struktur haram, perniagaan tanpa lesen serta aktiviti warga asing yang tidak mempunyai kebenaran sah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya tidak mengambil sekeping gambar di luar konteks untuk membina naratif yang tidak berasaskan fakta. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
